USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CHEM-E EXPO 2026 USM PERKASA MINAT PELAJAR SEKOLAH TERHADAP SAINS, TEKNOLOGI DAN KELESTARIAN

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.32 PM 2

NIBONG TEBAL, 11 April 2026 – Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (ChESS), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan program Chem-E Expo 2026, salah satu inisiatif memperkukuh pembudayaan sains, teknologi, dan kelestarian dalam kalangan pelajar sekolah dan komuniti setempat.

Majlis penutup Chem-E Expo 2026 yang telah berjaya menarik penyertaan dari kira-kira 400 orang peserta ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus, KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.30 PM

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa penganjuran Chem-E Expo mencerminkan komitmen tinggi penganjur dalam menyemarakkan minat terhadap bidang kejuruteraan, khususnya kejuruteraan kimia, di samping menyerlahkan semangat ingin tahu dan penglibatan aktif para peserta.

Menurut beliau, program sebegini berperanan penting dalam memperkukuh kedudukan kampus sebagai hab inovasi dan penyelidikan, selain memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai aplikasi sebenar kejuruteraan dalam kehidupan seharian.

“Program ini juga diharap dapat memupuk kesedaran terhadap amalan lestari, sekali gus membuka ruang pembelajaran luar bilik darjah yang lebih signifikan dan memberi nilai tambah kepada pelajar,” katanya.

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.30 PM 1

Tambah beliau, penglibatan dalam aktiviti interaktif serta peluang berinteraksi dengan pakar dari pusat pengajian mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berkemahiran teknikal, tetapi turut memiliki pemikiran kritis dan kreatif.

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.30 PM 2

Beliau turut berharap agar program seperti ini terus diperkasakan sebagai platform yang mencetus idea, membina keyakinan, serta merapatkan hubungan antara dunia akademik, sekolah dan masyarakat.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad dalam ucapannya turut menekankan kepentingan untuk terus mempromosikan bidang kejuruteraan kepada generasi muda, khususnya melalui pendekatan yang lebih dekat dan menarik.

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.32 PM 1

Menurut beliau, bidang kejuruteraan perlu dilihat daripada perspektif sebenar sebagai satu disiplin yang membentuk cara berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah, bukannya sekadar bidang akademik yang sukar.

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.29 PM 2

Beliau turut berharap agar program Chem-E Expo 2026 menjadi platform pendedahan awal kepada pelajar untuk membuka minda mereka terhadap potensi luas dalam bidang sains dan teknologi, seterusnya mendorong pemilihan laluan tersebut kelak.

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.29 PM 1

“Walaupun dunia kini pesat berkembang dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keperluan terhadap sentuhan dan pemikiran manusia dalam bidang kejuruteraan tetap tidak dapat digantikan sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau turut menyeru para pelajar agar melihat bidang kejuruteraan sebagai satu perjalanan yang menarik, bukannya sukar atau membebankan, di samping menyatakan harapan untuk melihat lebih ramai pelajar menyertai bidang ini di USM pada masa hadapan.

WhatsApp Image 2026 04 11 at 4.33.33 PM

Antara sekolah yang terlibat ialah Kolej Tingkatan Enam Kulim, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, dan MRSM Pendang, selain beberapa buah sekolah lain di sekitar Kedah dan Pulau Pinang, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 buah sekolah.

Teks & Foto: Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (ChESS), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia/Suntingan: Siti Faizah Abd Halim, Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), USM

  • Created on .
  • Hits: 151

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025