KARYA ‘RIPPLE’ CURI PERHATIAN, RAIH TEMPAT KETIGA DALAM PERTANDINGAN VIDEO KREATIF SPAN 2026

USM PULAU PINANG, 11 April 2026 - Karya video bertajuk 'Ripple' yang mengangkat kepentingan air dalam kehidupan serta kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Video Kreatif SPAN 2026, anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), baru-baru ini.
Karya hasil sekumpulan pelajar Bahagian Lakonan dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni (PPS), Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik daripada 197 penyertaan seluruh negara yang dipertandingkan dalam dua kategori iaitu Video AI dan Video Konvensional.

Mengangkat konsep 'ripple effect,' video berkenaan memaparkan bagaimana setiap tindakan kecil dalam penggunaan air mampu memberi impak besar kepada kehidupan dan persekitaran, sekali gus menekankan kepentingan kesedaran serta tanggungjawab dalam memelihara sumber berkenaan.
Projek berkenaan dibangunkan di bawah bimbingan Pensyarah Pusat Pengajian Seni, Dr. Azrul Azizi Amirrul yang turut hadir bersama wakil pelajar pada majlis penyampaian hadiah di Kuala Lumpur Convention Centre, 9 April lalu.
Azrul Azizi berkata, kejayaan dalam kategori video konvensional itu membuktikan keupayaan pelajar untuk bersaing secara cemerlang di platform kreatif peringkat kebangsaan, selain mencerminkan kemampuan pelajar menggabungkan kekuatan naratif, kreativiti visual dan kemahiran teknikal dalam menghasilkan karya yang berimpak tinggi.
“Mereka bukan sahaja berbakat dalam persembahan pentas, malah mampu meneroka medium digital dengan pendekatan matang dan profesional, selari dengan kehendak industri kreatif masa kini,” katanya.
Beliau juga berkata, penyertaan dalam pertandingan berprestij itu turut memberi pendedahan penting kepada pelajar dalam memahami standard industri serta membina keyakinan dalam berkarya.

“Kejayaan tersebut turut menyerlahkan keupayaan pelajar PPS USM dalam menghasilkan produksi visual yang menuntut daya imaginasi tinggi serta penguasaan kukuh terhadap pembinaan naratif,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, pencapaian itu diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pelajar USM dalam bidang seni kreatif, media dan industri persembahan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, pasukan produksi video itu diketuai Mohd Hazimi Sidek dan diarahkan oleh Ainaa Zafirah, dengan penglibatan Nur Reen Amalia, Al Amieen, Nur Sumayah, Nur Daniel, Alyssa Rania, Amyrul Fadhlan dan Nor Dalili.
Teks & Foto: Pusat Pengajian Seni, USM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 120