KOMUNITI USM MERIAHKAN KSSUSM FUN RUN 2026

USM PULAU PINANG, 10 April 2026 – Seramai 150 peserta terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) memeriahkan suasana kampus dengan menyertai program KSSUSM Fun Run 2026 anjuran Kelab Sukan Staf Universiti Sains Malaysia (KSSUSM) yang berlangsung di Padang Kawad USM, di sini hari ini.

Program dimulakan dengan sesi zumba sebelum acara larian dilepaskan oleh Pendaftar USM merangkap Penasihat KSSUSM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, bersama barisan pengurusan universiti.
Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Universiti, Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim serta Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM merangkap Penasihat Kelab Sukan Staf USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim.
Yang Dipertua KSSUSM, Profesor Dr. Irfan Naufal Umar berkata, penganjuran KSSUSM Fun Run 2026 julung kali diadakan sejak penubuhan kelab tersebut.

Katanya, dengan moto ‘Langkah Ceria Hidup Sejahtera ke arah Sihat Sejahtera bersama KSSUSM’, penganjuran larian itu disifatkan sebagai usaha memupuk gaya hidup sihat dan kesejahteraan dalam kalangan warga universiti.
“Ia turut dilihat sebagai satu langkah ke arah memperkukuh keharmonian dan ukhuwah sesama warga USM, selain membudayakan gaya hidup sihat,” ujarnya.


Dalam pada itu, KSSUSM turut merakamkan penghargaan kepada Pengurusan Tertinggi USM, khususnya Pendaftar USM, atas sokongan berterusan dalam kebajikan staf melalui aktiviti sukan.


Penghargaan turut diberikan kepada ahli jawatankuasa dan konvenor KSSUSM, petugas Jabatan Keselamatan serta Pusat Sejahtera USM atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan kelancaran program tersebut.
Teks & Foto: Kelab Sukan Staf Universiti Sains Malaysia (KSSUSM)/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 145