APUCEN CAPAI KEJAYAAN SATUKAN HASRAT BERSAMA
Padang (INDONESIA), 13 November 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) yang berlangsung di Grand Inna Muara Hotel di sini.
Omar adalah Pengerusi APUCEN. Mesyuarat ini dihadiri oleh 23 orang ahli yang terdiri daripada 8 orang ahli Majlis dari 7 buah institusi di samping 11 orang yang menganggotai ahli APUCEN serta 4 orang pemerhati yang mempunyai prospek sebagai ahli.
Menurut Omar, usaha yang lebih bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk melestarikan usaha ini dengan memastikan kelangsungan kedudukan ahli-ahli di dalam APUCEN.
“Ini penting untuk melihat objektif APUCEN dan usaha murni yang dibuat dapat diteruskan pada masa hadapan,” kata Omar.
Majlis ini menyedari hakikat bahawa kesukarelawanan dan khidmat komuniti penting sebagai strategi utama universiti dalam menjayakan libat sama universiti-komuniti dan bersetuju untuk menjadikan kedua-duanya sebagai fokus utama dalam jalinan kerjasama serantau.
Tambah Omar, dengan wujudnya satu asas yang kukuh dalam melaksanakan libat sama komuniti yang telah dibuat selama ini, maka adalah wajar untuk melancarkan satu projek yang boleh dianggap sebagai satu flagship dalam masa yang terdekat.
“Dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan, saya percaya hal ini dapat dilaksanakan dan mendapat hasil yang diharapkan,” katanya lagi.
Sementara itu, ahli-ahli yang hadir menyambut baik usaha yang dilakukan oleh APUCEN. Delegasi dari Jepun misalnya menyifatkan pertemuan ini mencapai kejayaan kerana berpeluang bertemu secara bersemuka dan lebih bersifat personal.
Delegasi dari Australia pula menyifatkan perjumpaan secara santai yang diadakan berupaya untuk menjana pemikiran dan peluang untuk berinteraksi dan menetapkan hala tuju secara profesional pada masa hadapan.
“Perjumpaan secara santai ini berjalan dalam suasana yang lebih sesuai untuk bersemuka dan berbincang hati ke hati,” tambahnya lagi.
Omar menyifatkan perjumpaan ini adalah satu kejayaan besar apatah melalui konsep santai ini yang kian diterima di peringat antarabangsa yang terbukti keberkesanan pendekatannya untuk merapatkan hubungan dengan semua pihak untuk berbincang bagi mencapai kesepakatan dan faedah bersama. – Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 998