USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAMERAN ‘ART WITHOUT BORDERS’ DI MUZIUM & GALERI TUANKU FAUZIAH TEGUHKAN KERJASAMA SENI VISUAL SERANTAU

20260410 202850

USM PULAU PINANG, 10 April 2026 – Pameran seni visual 'Art Without Borders' yang dirasmikan pada 9 April 2026 di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) menandakan satu lagi usaha berterusan dalam memperkukuh landskap seni visual melalui penglibatan pelbagai pihak merentasi latar belakang negara dan institusi.

Pameran yang akan berlangsung sehingga 9 Mei 2026 itu menghimpunkan sebanyak 54 karya seni yang dihasilkan secara berkumpulan, dengan penekanan terhadap kepelbagaian pendekatan seni dua dimensi yang merangkumi pelbagai tema, mesej, dan teknik.

20260410 202929

Majlis perasmian pameran telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Seni, USM, Profesor Madya Dr. Muhizam Mustafa.

Dalam ucapannya, Muhizam berkata, penglibatan institusi akademik adalah amat penting dalam menyokong pembangunan industri kreatif, khususnya dalam menyediakan ruang interaksi antara pengkarya, penyelidik, dan komuniti.

“Usaha sebegini bukan sahaja memperkukuh ekosistem seni, malah berperanan sebagai wadah untuk melahirkan bakat baharu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

20260410 202903

Terdahulu, Presiden International Visual Artists Association of Thailand, Thawee Tungmongkolwanit, dalam ucapan alu-aluannya, menekankan kepentingan pameran ini sebagai platform yang menghimpunkan pengamal seni dari pelbagai latar budaya dan negara.

“Kerjasama rentas sempadan berperanan penting dalam memperluas wacana seni visual dan menggalakkan pertukaran idea secara berterusan,” ujar beliau.  

20260410 202910

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah MGTF, Dr. Tetriana Ahmed Fauzi, yang turut menyerlahkan kepimpinan beliau dalam memperkukuh kedudukan MGTF sebagai platform pameran seni yang menghubungkan penggiat seni tempatan dan antarabangsa.

20260410 202917

Para hadirin turut dibawa mengikuti sesi lawatan pameran bagi melihat secara langsung susun atur karya serta pendekatan kuratorial yang diketengahkan.

Dari segi kandungan pameran, karya-karya yang dipamerkan merangkumi pelbagai medium dan teknik, mencerminkan kepelbagaian ekspresi dalam seni visual kontemporari.

Kesemua karya dipersembahkan dalam saiz yang seragam, satu pendekatan yang memberi penekanan kepada kekuatan gerakan berkumpulan dan mewujudkan keseragaman visual dalam ruang pameran.

Susunan ini secara tidak langsung mengalihkan tumpuan daripada keutamaan individu kepada nilai kolektif dalam penghasilan karya seni.

20260410 202923

Majlis perasmian tersebut dihadiri oleh kira-kira 150 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penggiat seni, dan jemputan terpilih.

Pameran tersebut diselaraskan oleh kurator MGTF, Nur Hafizah Ab. Aziz dan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak MGTF dalam memperluas jaringan kerjasama serantau, khususnya dalam konteks Asia Tenggara.

Menurutnya, selain berperanan sebagai ruang pameran, inisiatif ini turut menyumbang kepada pembinaan hubungan profesional dan pertukaran ilmu antara negara melalui medium seni visual.

'Art Without Borders' memperlihatkan satu pendekatan yang menekankan kepelbagaian, kolaborasi, dan kesinambungan dalam pembangunan seni visual.

Penganjuran pameran tersebut bukan sahaja memperkukuh peranan institusi sebagai pemangkin kepada aktiviti seni, tetapi juga membuka peluang kepada pembentukan jaringan yang lebih luas bagi memperkasa ekosistem seni di peringkat serantau.

Teks: PrivinKumar Jayavanan/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Neoh Yong Jun, Intern@MPRC

  • Created on .
  • Hits: 100

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025