USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SINERGI USM-SPEEQUAL TERAJUI KOLABORASI QUADRUPLE HELIX, PERKASAKAN GRADUAN BIDANG BAHASA DAN TERJEMAHAN

USM PULAU PINANG, 7 April 2026 – Dalam mendepani landskap ekonomi global yang kian dinamik, penguasaan bahasa kini beralih daripada sekadar alat komunikasi kepada aset strategik kerjaya.

Menyedari hakikat ini, Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan bakat unggul menerusi penganjuran Program Semai Bakat USM 2026.

DSC07773 nur aqila

Program dua hari yang berlangsung pada 2 dan 3 April 2026 di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Bahagian Pengajian Terjemahan dan Interpretasi (BATI), PPIK, dengan kerjasama Pusat Pembangunan Pelajar (BHEPA) USM dan SpeeQual Language Solutions sebagai rakan industri utama.

DSC07780 nur aqila

Seramai 70 peserta telah didedahkan kepada realiti sebenar industri bahasa dan terjemahan. Inisiatif ini bukan sekadar perkongsian ilmu, malah berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan teori akademik dengan piawaian profesional, kualiti kerja, dan kemahiran teknikal yang dituntut oleh pasaran masa kini.

DSC07750 nur aqila

Kehadiran barisan kepimpinan universiti mencerminkan kepentingan program ini, antaranya adalah Profesor Madya Dr. Muhamad Hasrul Zakariah, Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya & Antarabangsa), Dr. Anis Shahirah Abdul Sukur, Penyelaras program Semai Bakat USM dan Sollehin Ab Rahim, Ketua Sektor Kerjaya & Kebolehpasaran Graduan.

IMG 8906 nur aqila

Sepanjang program, peserta berpeluang menimba pengalaman daripada lima wakil industri terkemuka mengenai aspek lokalisasi dan pemasaran dalam industri bahasa.

Selain sesi perkongsian, simulasi temu duga turut dijalankan bagi memberikan pengalaman "hands-on" kepada pelajar, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan mereka sebelum melangkah ke alam kerjaya sebenar.

Program ini merupakan manifestasi jelas sokongan USM terhadap Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan KPT (PSKG) 2026-2030. Selaras dengan komitmen KPT untuk menjadikan tempoh lima tahun akan datang sebagai fasa kritikal dalam melahirkan graduan bukan sahaja berdaya kerja (employable), malah bersedia menghadapi masa hadapan (future-ready) serta berdaya tahan ekonomi (economy-resilient).

Halatuju KPT kini menekankan konsep Life-Long Learning dan pemerkasaan bakat melalui kolaborasi Quadruple Helix. Program Semai Bakat ini membuktikan bahawa sinergi antara universiti, pemain industri, pembuat dasar dan komuniti mampu memacu pembangunan bakat yang mampan melalui ekosistem inovasi terbuka, melahirkan graduan holistik dan memacu kesejahteraan ekonomi.

Teks & Foto: Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin 

  • Created on .
  • Hits: 142

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025