USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJOHANAN PIALA PUSAT PENGAJIAN USM 2026 BERMULA DENGAN EMPAT PERLAWANAN PEMBUKAAN MUSIM INI

WhatsApp Image 2026 04 10 at 12.19.28

USM PULAU PINANG, 7 April 2026 – Kejohanan Piala Pusat Pengajian (SCC) Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 membuka tirai dengan suasana meriah dan semangat kesukanan yang tinggi di Kopa Arena, USM.

Lapan pusat pengajian bertanding dalam acara bola sepak tahunan ini, yang menyediakan platform untuk menyatukan pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk mewakili pusat pengajian masing-masing.

WhatsApp Image 2026 04 10 at 12.19.28 1

Penyokong dan peminat bola sepak yang terdiri daripada pelajar dan staf, hadir memberikan semangat dan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

Juara dua kali SCC, PPIP FC dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, memulakan kempen dengan kemenangan bergaya 7-0 ke atas PPTI FC dari Pusat Pengajian Teknologi Industri.

PHYSICS FA dari Pusat Pengajian Sains Fizik pula menewaskan pasukan baharu, COMM FC dari Pusat Pengajian Komunikasi, dengan keputusan 2-0.

CHEMIST FC dari Pusat Pengajian Sains Kimia turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas HBP FC dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan.

Sementara itu, SOM FC dari Pusat Pengajian Pengurusan menundukkan CS FC dari Pusat Pengajian Sains Komputer dengan keputusan 4-0.

Dalam keadaan cuaca panas, pengurus projek kejohanan, Muhammad Zulkarnain Johor, menekankan kepentingan menjaga kesihatan.

“Kami telah menasihatkan semua pasukan supaya membawa bekalan air mencukupi, khususnya air sejuk, dan digalakkan minum sekurang-kurangnya dua liter air bagi mengelakkan dehidrasi,” katanya.

Ketua pasukan PPIP FC, Wan Muhammad Ashraff Wan Zaki, menjelaskan persiapan pasukan mereka telah bermula sejak semester lalu, termasuk melibatkan pelajar tahun pertama.

“Harapan kami adalah untuk sekali lagi muncul juara dan mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut,” ujarnya.

MPP Akmal Aziz dari Pusat Pengajian Komunikasi pula menyambut baik penyertaan sulung COMM FC.

“Walaupun kami sedar akan cabaran, kami gembira kerana akhirnya ada wakil dari Pusat Pengajian Komunikasi dan dapat menikmati pengalaman bermain,” katanya.

Secara keseluruhan, hari pertama di Kopa Arena A dan B menyaksikan semua perlawanan berlangsung dengan penuh semangat kesukanan; pemain menyambut kemenangan dengan rendah hati dan menerima kekalahan dengan penuh maruah.

Teks Asal & Foto: Sara Hannah Sahan Shah, House of Media (HOMe@MPRC)/ Terjemahan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 115

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025