SEMINAR CAREER TALK: LANGKAH AWAL PELAJAR MENAWAN PASARAN KERJAYA
USM PULAU PINANG, 7 April 2026 – Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif dan pantas berubah, graduan hari ini tidak boleh lagi bergantung pada kecemerlangan akademik semata-mata.

Mereka perlu memiliki keyakinan diri, kemahiran insaniah yang kukuh serta pemahaman yang jelas terhadap kehendak industri semasa.

Seiring dengan keperluan ini, penganjuran Seminar Siri 'Career Talk' dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam membantu pelajar mempersiapkan diri secara menyeluruh sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Sejajar dengan matlamat tersebut, Seminar Siri 'Career Talk' telah dianjurkan secara kolaboratif oleh Sektor Kerjaya & Kebolehpasaran Graduan (SKKG) dan Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) serta sokongan strategik GTI Media.

Bertempat di Dewan Kuliah SK 2, program yang berlangsung hari ini menjadi platform dinamik dalam memperkukuh tahap ketersediaan pelajar untuk melangkah dengan lebih yakin ke alam kerjaya.

Seramai 197 pelajar tahun akhir telah menghadiri seminar yang disusun secara komprehensif dan berfokus seperti teknik penulisan resume dan 'cover letter', panduan menghadapi temuduga serta kemahiran utama yang menjadi keutamaan majikan, melalui sesi penceramah Alfred Leo, Pengarah Pemasaran dan Dylan Ling Essa, Pencipta Kandungan Pemasaran dari GTI Media.
Komitmen ini turut dizahirkan melalui kehadiran barisan pengurusan akademik, iaitu Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Dr. Boo Harn Shian, Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya & Antarabangsa.

Kehadiran mereka bukan sahaja menyokong penganjuran program, malah memperlihatkan kesungguhan universiti dalam memastikan pelajar bukan sekadar cemerlang dari segi akademik, tetapi turut bersedia secara holistik untuk memenuhi keperluan industri.
Secara keseluruhannya, kesinambungan pengisian yang tersusun dalam seminar ini telah berjaya meningkatkan tahap ketersediaan pelajar dari segi penyediaan dokumen kerjaya, keyakinan menghadapi temuduga, serta pemahaman terhadap kehendak industri.
Selain dari itu, program ini bertindak sebagai persediaan awal yang kukuh sebelum penyertaan mereka dalam Ekspo Kerjaya & Pendidikan (EKSPEN) 2026 pada bulan Jun, yang membolehkan pelajar tampil lebih yakin, bersedia dan berdaya saing dalam merebut peluang kerjaya di masa hadapan.
Teks & Foto: Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 129