USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERLU LEBIH BIJAK TANGANI PENJENAYAH BIJAK-KPN

131113-1

PULAU PINANG, 12 Nov. 2013 – Anggota keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran tinggi bagi menangani kes-kes jenayah yang melibatkan penjenayah yang menganggap mereka lebih ‘pintar’.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar berkata, anggota PDRM perlu lebih peka dan menjadi lebih bijak bagi memerangi jenayah, sekaligus memerangkap penjenayah yang sentiasa mencari helah dalam menjalankan kegiatan jenayah mereka.

Katanya, penjenayah juga adalah manusia biasa dan tidak ada benda yang dapat menghalang pihak berkuasa untuk terus berusaha menjamin tahap keselamatan orang awam sentiasa terpelihara.

131113-2

``Justeru kita sentiasa mempersiapkan anggota PDRM dengan pelbagai program khas meliputi aspek teori dan fizikal bagi mendepani cabaran bidang kepolisian hari ini serta menambah baik keupayaan anggota dari masa ke samasa,’’ katanya.

DSC 0951

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk “Futuristic Policing: The Direction of Polis Diraja Malaysia in the Context of Vision 2020”  di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, pegawai-pegawai utama dari Universiti dan PDRM.

Antara intipati syarahan adalah berkisar kepada asas kepolisian komuniti yang dilihat antara kaedah efektif dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat dan keamanan negara.

DSC 0957

Ia turut disertai dengan perincian kepada tanggungjawab besar PDRM dalam menentukan tahap keselamatan negara sentiasa terjamin meliputi semua aspek termasuk pencegahan, pengawalan, tindakan dan sebagainya.

Mengulas berkaitan program yang diadakan secara tahunan sejak USM menjalin kerjasama erat dengan PDRM itu, beliau berharap lebih banyak program dapat dijalankan melibatkan kedua-dua pihak.

``Kita sentiasa mengalu-alukan perkongsian pintar seumpama ini dan berhasrat untuk terus menghantar anggota PDRM untuk menyambung pengajian dan mengikuti program-program ilmiah dengan pihak Universiti,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Omar pula berkata, USM akan mengukuhkan kerjasama khususnya dalam bidang forensik dan Sains Kemasyarakatan dengan PDRM selain turut melihat potensi melebarkan kerjasama dalam bidang-bidang lain.

Katanya, USM sentiasa meneroka peluang kerjasama dengan pelbagai agensi seperti PDRM kerana bidang kepolisian adalah antara perkara yang penting yang turut menyumbang kepada penambahbaikan pembangunan penyelidikan di Universiti.

``USM komited untuk meneruskan hubungan baik ini dan membantu dalam menyumbangkan kepakaran untuk manfaat keselamatan serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1040

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024