USM PERTEGUH KEDUDUKAN STRATEGIK DAN KEUNIKAN DALAM MENDEPANI PERSAINGAN GLOBAL
USM PULAU PINANG, 8 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh komitmen dalam memperteguh kedudukan strategik dan keunikan institusi bagi menghadapi persaingan global yang semakin sengit.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan Said berkata, keunggulan institusi ditentukan oleh kejelasan nilai, dan kekuatan keupayaan membina naratif berimpak.
“Institusi perlu mentakrifkan nilai dan keunikan sendiri serta menterjemah kekuatan kepada nilai yang difahami dan dihargai,” katanya.

Beliau menegaskan lagi dalam konteks pendidikan tinggi, universiti perlu mempunyai ‘positioning’ yang jelas serta ‘Unique Selling Proposition’ (USP) yang membezakan mereka daripada institusi lain.
Beliau menambah, trend dan persepsi membentuk nilai, justeru universiti perlu mengurus kedudukan strategik secara terancang dengan menonjolkan kekuatan autentik.
“Universiti adalah ekosistem nilai, hasil, dan pengalaman yang membina keyakinan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh keterlihatan penyelidikan dan inovasi bagi memastikan impak kepada masyarakat.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menegaskan kepimpinan universiti perlu berani dan lebih fokus.

“Kita perlu mengangkat pendekatan strategik dan memainkan peranan sebagai peneraju,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan dalaman perlu digerakkan secara tersusun dan strategik bagi memastikan impak signifikan, dengan pemilihan bidang tumpuan sebagai strategi pembezaan ke arah kecemerlangan global.
Kedua-dua pemimpin sependapat bahawa keupayaan memposisikan usaha kepada naratif yang meyakinkan menjadi cabaran utama institusi.

Mengambil kira perubahan pasca COVID-19, universiti perlu mencipta trend baharu berteraskan identiti tersendiri bagi memastikan daya saing global.
Mesejnya jelas, keunikan berteraskan nilai menjadi pemangkin kepada impak berskala besar yang dibangunkan secara strategik dan konsisten.
Teks: Dr. Miharaini Md Ghani, Pusat Pengajian Komunikasi, USM/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan @MPRC USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 172