DI SEBALIK KEPIMPINAN PENDIDIKAN PULAU PINANG: NARATIF KEYAKINAN DAN PENCAPAIAN
PULAU PINANG, 2 Mac 2026 – Pada pagi Jumaat, 27 Februari 2026, pasukan USAINS@USM telah berpeluang menghadiri perhimpunan bulanan kedua Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Sebagai seorang pendidik guru di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah menjadi sebahagian daripada sistem sekolah, sesi tersebut memberi kesan mendalam kepada saya dari sudut profesional dan peribadi.
Ia menandakan penglibatan kedua saya bersama Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan pertemuan pertama kami bagi tahun ini.
Walaupun perhimpunan itu pada asasnya hanya melibatkan pegawai, pengetua, guru, dan pelajar, ia sebenarnya memberi lebih daripada sekadar maklumat pentadbiran.
Sebagai seorang akademik dan bekas pengamal, saya melihat ia sebagai peluang untuk memahami dengan lebih jelas falsafah kepimpinan, cara kerja yang teratur, dan hala tuju strategik yang sedang membentuk sistem pendidikan di Pulau Pinang.
Pengalaman tersebut membolehkan saya merenung bukan sahaja dasar dan sistem, tetapi juga bagaimana nilai kepimpinan diterjemahkan ke dalam realiti harian sekolah.
Turut hadir ialah barisan pengurusan kanan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang; Farid Wajidi, Pengarah Urusan Kumpulan USAINS; ahli pasukan Program Saintis Muda (YSP 2025) USAINS; pegawai pendidikan, pengetua sekolah, guru, dan pelajar yang terlibat dengan program hari tersebut.
Kehadiran para pemegang taruh ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh penyampaian pendidikan melalui kolaborasi dan akauntabiliti bersama.
Meraikan Pencapaian dan Inklusiviti
Kehadiran kami sebahagiannya adalah untuk mengiktiraf impak yang dihasilkan melalui YSP 2025, sebuah inisiatif di bawah usaha khidmat masyarakat USAINS@USM.
Program tersebut baru-baru ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila SMK Tun Hussein Onn, Pulau Pinang berjaya meraih pingat emas di Pertandingan Tokyo World Science Castle yang dianjurkan oleh Leave a Nest.
Pencapaian tersebut menjadi bukti kukuh tentang apa yang boleh dicapai apabila bimbingan terstruktur, penyelidikan saintifik berterusan, dan komitmen sekolah yang teguh bergabung.
Para pelajar dibimbing selama sembilan bulan melalui latihan intensif yang merangkumi pembangunan penyelidikan secara sistematik, pemikiran kritis, dan persediaan menghadapi pertandingan. Latihan ini dikendalikan oleh USAINS bersama pasukan BORG dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM.
Oleh itu, amat memberangsangkan apabila pencapaian ini turut diangkat sebagai sebahagian daripada naratif kejayaan yang diketengahkan oleh kepimpinan pendidikan negeri.
Perhimpunan tersebut dirancang dengan teliti dan dipenuhi dengan pengisian yang bermakna.
Salah satu segmen turut menampilkan refleksi ringkas daripada sebuah Hadis yang menekankan pembinaan sahsiah dan pengukuhan nilai moral.
Ini diikuti dengan sesi ulasan buku mengenai autisme daripada karya Sarah Cobbe, yang menekankan inklusiviti dan kepentingan memahami neurodiversiti di sekolah.
Sesi-sesi tersebut menegaskan bahawa kecemerlangan pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan nilai, empati, disiplin, dan perkembangan holistik pelajar.
Falsafah Kepimpinan: Kepercayaan, Keyakinan, dan Kejayaan
Dalam ucapannya, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Mohamad Dziauddin Mat Saad, menyampaikan dengan penuh bersemangat tentang kaitan antara “Kepercayaan dan Pencapaian”.
Menurut beliau, keyakinan merupakan asas kejayaan dan perlu dipupuk secara aktif di setiap peringkat — sama ada dalam kalangan pelajar, guru, mahupun pentadbir. Kepercayaan terhadap kemampuan diri pula secara langsung mempengaruhi pencapaian yang diperoleh.
Oleh itu, para pemimpin pendidikan memikul tanggungjawab untuk memupuk kepercayaan tersebut melalui pengiktirafan, galakan, dan penghargaan yang jelas terhadap kelakuan positif.
Menghormati orang tua, tindakan sopan santun secara spontan, dan tingkah laku berdisiplin diketengahkan sebagai kualiti yang mesti diiktiraf dan diraikan sebagai sebahagian daripada pembentukan individu beradab dan beretika seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Tema utama pada pagi itu ialah pembinaan naratif kejayaan secara terancang. Sekolah, pejabat pendidikan daerah, dan jabatan negeri perlu berganding bahu menonjolkan kekuatan, bukan hanya memberi tumpuan kepada kelemahan.
Menurutnya lagi, lawatan ke sekolah tidak seharusnya dilakukan hanya apabila timbul masalah. Ia juga perlu mengiktiraf pencapaian dan menyemarakkan semangat. Meraikan kejayaan akan membina keyakinan, dan keyakinan itu pula menjadi pendorong kepada kejayaan seterusnya.
Pengarah turut menekankan kepentingan daya tahan dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar.
Dalam landskap pendidikan yang dinamik dan semakin kompetitif, kebolehsuaian dan kekuatan emosi adalah atribut penting.
Sambil mengakui bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, beliau menekankan kepentingan sistem yang teratur bagi mencegah kegagalan berulang melalui perancangan awal dan intervensi yang tepat pada masanya. Menurutnya, pencegahan sentiasa lebih berkesan daripada pembetulan.
Disiplin Operasi dan Perancangan ke Hadapan
Dari perspektif organisasi, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang menunjukkan kecekapan yang luar biasa dan disiplin operasi yang kukuh, khususnya dalam menguruskan urusan kewangan.
Proses diselaraskan dengan baik, dan perancangan awal merentasi semua sektor memastikan cabaran yang timbul dapat ditangani dengan berkesan.
Bilik koordinasi khusus di pejabat pendidikan daerah menyediakan panduan dan sokongan yang tepat pada masanya, lantas membolehkan jabatan bertindak secara proaktif terhadap sebarang keperluan.
Fokus semasa adalah menguruskan trend kemasukan murid.
Kohort Tahun Satu, yang sebelum ini berjumlah kira-kira 19,000 murid, telah meningkat kepada lebih 33,000 apabila pengambilan rasmi memperkenalkan perubahan baharu, iaitu kemasukan awal ke Tahun Satu buat pertama kali.
Ramalan dan perancangan teliti amat penting untuk menampung peningkatan ini. Setakat ini, kira-kira 15,000 pendaftaran telah diselesaikan, dengan tarikh tutup pendaftaran pada 31 Mac 2026.
Kaunter khidmat nasihat telah ditubuhkan untuk membimbing ibu bapa mengenai pilihan kemasukan bagi tahun 2027 dan 2028, mencerminkan pendekatan pengurusan sekolah yang berpandangan jauh dan bersifat pencegahan.
Pendidikan inklusif terus menjadi keutamaan di Pulau Pinang. Kemudahan pendidikan khas sentiasa ditambah baik untuk memastikan keselesaan, keselamatan, dan kebolehcapaian bagi semua murid.
Setiap sekolah di negeri ini kini mempunyai infrastruktur yang menyokong murid berkeperluan khas, termasuk tanjakan, palang tangan, tempat letak kereta khas, dan tandas mesra OKU yang diintegrasikan secara menyeluruh ke dalam persekitaran sekolah.
Memberikan akses yang bermakna bukanlah perkara sampingan, sebaliknya merupakan tanggungjawab asas dalam sistem pendidikan.
Sepanjang sesi, mesej yang berulang adalah jelas: keyakinan membina pencapaian, dan pencapaian mesti diiktiraf.
Pengarah menekankan kepentingan meraikan kejayaan, khususnya dalam mempromosikan pendidikan STEM, dan menyampaikan penghargaan tulus kepada sekolah yang menunjukkan kecemerlangan.
Penekanan terhadap pengiktirafan ini mengukuhkan budaya institusi yang kukuh dan selaras dengan komitmen USAINS@USM untuk memperkasa sekolah melalui program terstruktur, penglibatan berterusan, dan pemupukan rasa ingin tahu saintifik.
Bagi pasukan USAINS@USM, pagi itu merupakan pengalaman yang benar-benar mengesahkan dan memberi pencerahan.
Diiktiraf dalam naratif kejayaan pendidikan negeri, khususnya berkaitan dengan YSP 2026, amat memberi dorongan.
Lebih penting lagi, pengalaman ini menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan sistem sekolah.
Transformasi pendidikan berkembang melalui visi bersama, sistem teratur, serta kepimpinan yang menghargai prestasi dan sahsiah.
Pagi itu ternyata memberikan lebih daripada sekadar maklumat pentadbiran.
Bagi saya sebagai pendidik guru, pengalaman itu amat bermakna kerana berpeluang melihat kepimpinan berfungsi secara langsung, sambil bertemu semula dengan bekas pelajar yang kini memegang peranan penting dalam sistem pendidikan negeri.
Sesi tersebut menonjolkan impak keyakinan, organisasi, dan pengiktirafan dalam mendorong kejayaan.
Ia merupakan suatu penglibatan yang bermakna dan memberi inspirasi, lantas menegaskan prinsip bahawa apabila sistem kukuh dan insan dihargai, kecemerlangan akan hadir dengan sendirinya.
Teks: Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Ketua Pendidikan, USAINS & Profesor Madya (Kehormat) Pendidikan, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe & Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 60