SUARA MALAYSIA DALAM NEUROSAINS: USM SERTAI DIALOG GLOBAL KESIHATAN OTAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mac 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya dalam kepimpinan global dalam bidang neurosains apabila Profesor Dato' Dr. Jafri Malin Abdullah, Felo Akademi Sains Malaysia, menyertai Global Brain Health Partnership (GBHP) melalui kerjasama strategik dengan Technical University of Munich (TUM) dan Harvard University.
Jafri Malin, Pengarah Pengasas ‘Brain and Behaviour Cluster’ (BBC) USM, telah dijemput sebagai penceramah jemputan dan panelis dalam TUM–Harvard Global Brain Health Partnership Webinar, mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Kerjasama berprestij ini antara Centre for Global Health TUM dan institusi akademik global bertujuan menangani peningkatan beban gangguan neurologi di seluruh dunia dengan memperkukuh jaringan penyelidikan antara pusat-pusat termaju di Eropah serta meningkatkan akses klinikal di Asia Tenggara dan wilayah yang kurang mendapat perkhidmatan asas.
Penglibatan USM dalam Global Brain Health Partnership mencerminkan falsafah “We Lead” dan komitmen universiti untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang neurosains.
Bekerjasama dengan TUM, Harvard University, dan Global Brain Consortium, inisiatif ini menonjolkan peranan Malaysia yang semakin signifikan dalam menangani jurang global kesihatan otak, khususnya melalui program seperti inisiatif Brain-Train yang menyokong latihan dan pemindahan ilmu merentas wilayah.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada tiga (3) tonggak utama:
- Latihan Kesihatan Digital: Melaksanakan model ECHO untuk pendidikan neurologi
- Pembinaan Kapasiti: Melatih tenaga pakar di negara berpendapatan rendah dan sederhana
- Advokasi Dasar: Mengangkat kesihatan otak sebagai matlamat utama untuk pembangunan antarabangsa
Sebagai universiti APEX, USM terus membina rangkaian strategik antarabangsa yang menterjemahkan penyelidikan berteknologi tinggi kepada impak penjagaan kesihatan sebenar, khususnya bagi penduduk yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh dunia.
Dalam webinar tersebut, Jafri Malin akan bergabung dengan panel tersohor termasuk Andrea S. Winkler (TUM) dan Profesor Dr. Rajinder K. Dhamija (India), seorang pakar neurologi terkemuka, ahli akademik, dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi National Task Force on Brain Health di India.
Bersama-sama, mereka akan membincangkan masa depan kesihatan otak di Asia serta kepentingan kerjasama rentas benua dalam menangani gangguan neurologi.
Sertai Global Conversation on Brain Health. Sesi ini amat disyorkan untuk para profesional perubatan, penyelidik, pembuat dasar, dan pelajar yang berminat dalam:
- Keadilan kesihatan global
- Kemajuan neurologi di Asia
- Kerjasama akademik rentas benua
Tarikh: Jumaat, 27 Mac 2026; Masa: 18:00 MYT; Pendaftaran: https://tum-conf.zoom.us/.../IswX1-8rRNqTPkMyrIG1sA
USM terus membuktikan bahawa kepakaran Malaysia memainkan peranan penting dalam menangani cabaran kesihatan global dan membentuk masa depan neurosains.
Sumber: Hantaran di Facebook Hospital USM Network/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 66