USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UCEC 2013: NC TEGASKAN PERANAN UNIVERSITI PERLU RENTASI PENGAJARAN DAN PENYELIDIKAN

131113

Padang (INDONESIA), 12 November 2013 - Peranan universiti sekarang ini perlu merentasi tugas konvensionalnya iaitu mengajar dan melakukan penyelidikan, malah seharusnya keluar daripada konsep Menara Gading yang sering dikaitkan selama ini.

“Kita sewajarnya berupaya untuk memperolehi idea dan ilmu pengetahuan dari aspek yang berbeza bagi menghasilkan libat sama masyarakat dalam pelbagai aspek bukan sahaja di peringkat tempatan malah juga serantau, mempelajari proses-proses yang yang berkaitan, melihat cabaran-cabaran yang ada dan menyusun strategi untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan, membawanya ke tengah masyarakat dan bekerja secara rapat dengan orang ramai yang akhirnya akan membolehkan berlakunya perkongsian amalan terbaik dalam menzahirkan bekerja bersama-sama pada semua peringkat masyarakat.”

Demikian tegas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menutup Persidangan Libat Sama Universiti  Masyarakat 2013 atau University Community Engagement Conference (UCEC) 2013 di Grand Inna Muara Hotel, Padang, Indonesia.

Persidangan dua hari pada 11 dan 12 November 2013 dianjurkan bersama oleh USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dengan Universitas Andalas Padang, Indonesia yang bertemakan “Towards the Transformation of the Higher Education on University Community Engagement

Lebih 200 peserta dari Indonesia, Malaysia, Jepun, Thailand, Australia, German, United Kingdom dan Brunei menghadiri persidangan ini yang terdiri daripada para ilmuwan, penyelidik, pemimpin masyarakat, pegawai tinggi kerajaan dan pertubuhan sukarela yang melibatkan pembentangan 50 kertas kerja dan 4 poster.

“Persidangan ini diharapkan berupaya merapatkan lagi kerjasama yang dijalin dalam memperkukuhkan usaha USM untuk bersama-sama semua pihak di rantau Asia Pasifik bagi memajukan usaha seumpama ini untuk bersama-sama meneruskan usaha membantu masyarakat melalui usaha memanfaatkan pelbagai kepakaran yang ada di semua universiti yang terlibat demi meningkatkan taraf hidup rakyat,” kata Omar.

Turut diadakan ialah bengkel yang dikendalikan oleh Timbalan Naib Canselor (BJIM) Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey “Constructing the Leadership Canvas in Community Engagement” yang berfokus kepada usaha membangunkan kepimpinan dalam libat sama masyarakat.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Rektor Universitas Andalas, Dr. Werry Darta Taifur. Turut diadakan ialah majlis penyerahan tuan rumah 4th UCEC 2015 kepada Australian College of Applied Psychology (ACAP) yang diterima oleh tiga orang wakilnya untuk meneruskan usaha tersebut. University of Kyoto pula dipilih menjadi tuan rumah 5th UCEC 2017

UCEC 2013 berusaha melihat kepada usaha memberikan penghakupayaan kepada universiti dalam meneruskan amalan penjanaan ilmu yang ada, menerokai kaedah, strategi dan pengalaman dalam menjalin persefahaman dan  libat sama sosial dalam kalangan rakan yang berbeza-beza, mengukuhkan keupayaan universiti dalam proses transformasi sosial terutamanya dalam konteks keadilan sosial dan pembangunan lestari serta meningkatkan jaringan kerjasama dalam perkongsian kepakaran dalam kalangan pendidik, ahli masyarakat serta para pengamal yang terlibat sercara langsung dalam pembangunan masyarakat khususnya untuk melihat amalan terbaik libat sama universiti dengan masyarakat.

Semasa berada di Padang, Indonesia Naib Canselor turut mengadakan perbincangan dengan Rektor Universitas Andalas, Dr Werry Darta Talfur dan Bupati Dharmasraya, Adi Gunawan yang meliputi  hal-hal yang berkaitan dengan akademik, jaringan industri, jaringan masyarakat setempat, pembangunan pendidikan dan sebagainya.

Omar juga turut mengadakan perjumpaan dengan alumni USM yang berada di sana termasuk Timbalan Rektor Fakulti Ekonomi Universiti Andalas, Dr. Herry; Timbalan Rektor Fakulti Kejuruteraan, Dr. Febrin Anas Ismail; Dekan Fakulti Ekonomi Profesor Tafdil Husni serta 17 orang lagi yang bertugas sebagai pensyarah di sana. - Teks: MOHAMAD ABDULLAH

 

  • Created on .
  • Hits: 1128

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024