PERBINCANGAN MoA: IPPTN–VITROX ACADEMY JALIN KERJASAMA STRATEGIK AKADEMIA–INDUSTRI

PULAU PINANG, 5 April 2026 – Pada 3 April lalu, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan sesi perbincangan bersama ViTrox Academy Sdn. Bhd. berhubung Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Sesi tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara akademia dan industri, khususnya dalam memperkasa inisiatif pendidikan STEM serta pembangunan pendidikan tinggi secara menyeluruh.
Perbincangan menekankan usaha bersama dalam bidang penyelidikan, pedagogi berkesan, penerbitan, dan latihan yang sejajar dengan keperluan industri.
Menurut Pengarah IPPTN, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee, kerjasama ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam mengintegrasikan ilmu akademik dengan amalan industri.
“Usaha ini diyakini dapat meningkatkan penglibatan pelajar serta memperbaiki hasil pembelajaran melalui pendekatan pedagogi berasaskan bukti,” katanya.
Menurutnya lagi, kerjasama ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan pembangunan bakat, peningkatan kompetensi relevan industri, serta mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan rakan industri.
“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan IPPTN dalam memajukan pendidikan tinggi melalui perkongsian strategik dan inisiatif berasaskan ilmu,” tambah Thien.
Pengetua ViTrox Academy, Dr. Janaka Low Chee Kong, pula menegaskan bahawa kerjasama dengan industri amat penting dalam menyokong pembangunan bakat dan melengkapkan pelajar dengan kompetensi yang relevan.
“Selain itu, ia turut membuka peluang pendedahan praktikal dan pembelajaran berasaskan aplikasi,” katanya.
Beliau turut berkata, antara bidang utama kerjasama termasuk pelaksanaan penyelidikan bersama dalam pedagogi STEM bagi meningkatkan penglibatan pelajar dan hasil pembelajaran, penerbitan bersama hasil penyelidikan, serta penganjuran latihan dan program pembangunan profesional yang relevan dengan industri.
Kedua-dua pihak turut membincangkan penubuhan inisiatif ‘Industry on Campus’ (IOC) sebagai platform untuk memperkukuh integrasi akademia–industri melalui latihan, penglibatan penyelidikan, dan aktiviti pembelajaran berasaskan aplikasi.
Teks Asal & Foto: Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 111