SEPARUH ABAD SEMANGAT KUNG FU: USM RAIKAN MALAM KUNG FU KE-46 PADA 10 MEI 2026

USM PULAU PINANG, 3 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Kelab Kung Fu USM bakal meraikan detik bersejarah dengan penganjuran Malam Kung Fu ke-46 bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Kelab Kung Fu USM.
Majlis penuh tradisi dan budaya ini akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), kampus induk USM pada 10 Mei 2026, jam 8.00 malam, dan dijangka akan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kelab Kung Fu USM yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah menjadi salah satu kelab seni mempertahankan diri terawal di kampus, dengan lima divisyen utama iaitu Shaolin, Taiji, Wushu, Gendang, serta Naga dan Singa.

Sepanjang lima dekad, kelab ini bukan sahaja memartabatkan seni Kung Fu, tetapi turut menjadi wadah perpaduan dan penghubung budaya dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
Menurut Penasihat Kelab Kung Fu USM, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, “Malam Kung Fu bukan sekadar persembahan seni mempertahankan diri, tetapi ia adalah wadah untuk menyatukan masyarakat melalui budaya dan semangat perpaduan.”
“Sambutan ulang tahun ke-50 ini melambangkan dedikasi dan komitmen ahli kelab dan juga pihak berkepentingan yang banyak menyumbang idea, tenaga, dan masa dalam usaha mengekalkan warisan seni Kung Fu di USM,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Projek Malam Kung Fu ke-46, Lim Ther How, berkata, “Kami amat berbesar hati dapat menganjurkan Malam Kung Fu ke-46 yang bersejarah ini. Dengan gabungan persembahan tradisional dan moden, kami ingin membawa penonton menyelami keindahan seni Kung Fu serta menghargai perjalanan 50 tahun kelab ini.”

Beliau menambah, “Bagi pihak Kelab Kung Fu USM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan tinggi USM, khususnya pihak Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM atas sokongan serta bantuan berterusan yang telah merealisasikan visi dan misi kelab.”
Mengimbas kembali kejayaan tahun lalu (2025), Malam Kung Fu ke-45 bertemakan “The Destined (天命)” telah menarik lebih 1,500 penonton.
Acara tersebut menjadi simbol kebangkitan semula selepas penangguhan akibat pandemik COVID-19, sekaligus memperkukuh semangat kelab untuk terus maju ke hadapan.
Acara tahun ini dijangka menarik minat warga USM, pelajar sekolah menengah sekitar Pulau Pinang, dan penduduk setempat yang ingin menyaksikan keunikan seni mempertahankan diri dan kebudayaan.

Kelab Kung Fu USM dengan penuh hormat menjemput orang ramai untuk hadir menyaksikan Malam Kung Fu ke-46 dan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Kelab Kung Fu USM, yang bukan sahaja meraikan warisan seni Kung Fu tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan kebudayaan di Pulau Pinang.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak penganjur melalui emel
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Kelab Kung Fu USM
- Created on .
- Hits: 119