USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGERUSI LGU SERU GUNA KEBIJAKSANAN DALAM TINDAKAN

121113

PULAU PINANG,  12 Nov. 2013 - ``Saya menyeru agar kita sama-sama kembali ke landasan yang telah ditetapkan oleh Allah S. W. T dan pada masa yang sama melihat dengan mata hati dalam setiap perkara atau tindakan yang diambil.’’

Demikan saran Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan yang dalam masa yang sama turut mengingatkan seluruh warga kampus supaya sentiasa berdialog dengan cara baik untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

Katanya, warga kampus khususnya harus sentiasa bersatu dan bukannya berpecah, mengukuhkan jaringan bukannya meruntuhkan dan menggabungkan komponen inspirasi kehidupan masa lalu dengan hari ini dan seterusnya masa hadapan.

``Seperti pepatah ‘gajah sama gajah berperang, pelanduk yang mati tersepit di tengah’, ia jelas menunjukkan perbalahan atau pertembungan hanya akan mendatangkan kerugian kepada umat Islam.

``Jangan biarkan anak cucu kita nanti merempat akibat perbalahan kita yang tiada sudahnya dan pada masa yang sama agama dan bangsa yang menanggung padah,’’ ujarnya ketika berucap dalam majlis Sambutan Maal Hijrah 1435 di USM di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Yusoff Latiff, Ahli-ahli Lembaga Gabenor dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Tambah beliau, manusia selaku khalifah di bumi adalah ummatan wasata (umat pilihan), umat yang terbaik dipilih berdasarkan keimanan kepada Allah S.W.T dan keadilan dan seharusnya dapat mengimbangi kehidupan dengan sewajarnya.

``Secara konseptual, konsep wasatiyyah ialah kejayaan mengimbangi antara nilai kebendaan (madiyyah) dan ruhaniyyah (jiwa). Sekiranya ia diperhalusi, Islam tidak pernah menghalang umatnya dari mencari nikmat dan kemewahan dunia.

``Namun ia dengan syarat kita juga tidak boleh melupakan akhirat. Islam dengan keras menolak golongan yang menghabiskan sisa hidupnya semata-mata untuk beribadah dan menyerahkan nasib mereka di dunia bulat-bulat kepad Allah S.W.T,’’ ujar beliau.

Terdahulu, berucap pada majlis yang sama Naib Canselor  berkata, sambutan Maal Hijrah yang menjadi acara kelaziman di universiti adalah pentas penyatuan warga staf dan pengiktirafan Universiti terhadap individu-individu yang telah menyumbang kepada penghayatan dan dakwah Islamiah.

Katanya, tema pada tahun ini iaitu “Wasatiyyah Menzahirkan Kecemerlangan Universiti” memberikan pengertian yang mendalam terhadap hala tuju USM untuk masa hadapan yang lebih cemerlang dan terbilang.

``Ia juga amat signifikan dan relevan untuk sambutan tahun ini memandangkan krisis perpecahan yang masih melanda umat Islam.

``Justeru, intipati konsep wasatiyyah masih perlu pada  percambahan pemikirian secara akademik dan ilmiah agar nilainya dapat difahami dengan betul dan mampu diserapkan dalam setiap kerangka dan tiang pembangunan USM,’’ katanya.

Tegasnya, nilai kesederhanaan dan keseimbangan, adalah kunci kejayaan Nabi Muhammad saw sehingga berjaya melahirkan generasi kyara ummah yang disifatkan oleh Allah swt sebagai ummatan wasata, iaitu umat yang mencapai aras keadilan dan kesaksamaan tertinggi. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1139

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024