USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIRI SEMINAR AKADEMIK PPSK 2/2026 USM TELITI PERANAN STRATEGIK GLOBAL SELATAN DALAM PERALIHAN TATANAN DUNIA

Picture6yueytue

USM PULAU PINANG, 2 April 2026 – Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) di Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Siri Seminar Akademik PPSK 2/2026 yang membincangkan isu transformasi geopolitik semasa secara kritis.

Seminar bertajuk “The Hedgers: How the Global South is Shaping the Current Global Order Transition” telah disampaikan oleh Profesor Yves Tiberghien, Dekan Taipei School of Economics and Political Science di National Tsing Hua University.

Perbincangan utama memberi tumpuan kepada konsep 'hedging' sebagai strategi negara-negara Global Selatan dalam menghadapi ketidaktentuan sistem antarabangsa.

Menurut Tiberghien, hedging bukan sekadar pendekatan imbangan pasif, tetapi merupakan strategi adaptif yang membolehkan negara membangun mempelbagaikan hubungan politik, ekonomi, dan keselamatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kuasa besar.

Dalam konteks persaingan antara Amerika Syarikat dan China, pendekatan ini dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan autonomi strategik.

Beliau turut menekankan bahawa perubahan dasar global yang bersifat unilateral dan proteksionis telah melemahkan keyakinan terhadap institusi multilateral, sekali gus menggalakkan kecenderungan ‘hedging.’

Sesi perbincangan memperlihatkan penglibatan aktif peserta yang mengemukakan persoalan kritikal berkaitan keberkesanan jangka panjang strategi ini, khususnya bagi negara kecil dengan keupayaan terhad.

Selain itu, peranan Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) turut dibincangkan sebagai platform untuk memperkukuh pendekatan kolektif dalam pelaksanaan strategi ‘hedging.’

Isu etika juga disentuh, terutamanya dalam konteks keseimbangan antara kepentingan strategik dan komitmen terhadap norma hak asasi manusia.

546456

Menjawab persoalan tersebut, Tiberghien menjelaskan bahawa ‘hedging’ perlu difahami sebagai spektrum pilihan strategik yang dipengaruhi oleh faktor domestik, ekonomi, dan keselamatan serantau.

Picture846546

Secara keseluruhan, seminar ini berlangsung dalam suasana akademik yang tersusun dengan hujah berasaskan bukti serta penglibatan aktif peserta.

Peranan pensyarah PPSK, Profesor Madya Dr. Benny Teh Cheng Guan selaku moderator berjaya memastikan perbincangan kekal fokus dan seimbang, sekali gus memperkayakan wacana ilmiah yang berlangsung.

62536556

Seminar ini turut berasaskan karya terkini Profesor Yves Tiberghien mengenai strategi Global Selatan dalam persaingan kuasa besar, yang memberi kerangka analisis terhadap peranan negara-negara membangun dalam membentuk semula tatanan dunia.

Teks: Privin Kumar Jayavanan/Foto: Neoh Yong Jun, Intern@MPRC

  • Created on .
  • Hits: 225

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025