USM CATAT LONJAKAN PRESTASI DALAM MYRA II 2025 (AUDIT DALAMAN)
USM PULAU PINANG, 1 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara apabila mencatat peningkatan prestasi yang signifikan dalam penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA II) 2025 untuk audit dalaman (IA) berbanding tahun sebelumnya.

Prestasi keseluruhan USM menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan skor MyRA II 2024 sebanyak 90.28 meningkat kepada 99.74 pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 9.46 mata (10.48%), sekali gus mencerminkan keberkesanan strategi universiti dalam memperkukuh budaya penyelidikan, meningkatkan kualiti penerbitan serta memperluas jaringan kolaborasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Ini adalah pencapaian terbaik USM semenjak 10 tahun yang lepas.
Kejayaan ini turut dizahirkan melalui pencapaian cemerlang Pusat Tanggungjawab (PTJ) akademik, di mana sebanyak 4 PTJ berjaya mencapai penarafan 6 bintang, 16 PTJ mencapai penarafan 5 bintang manakala 9 PTJ mencatat lonjakan prestasi yang signifikan.


Pencapaian ini membuktikan keupayaan PTJ di USM dalam memperkasakan aktiviti penyelidikan berimpak tinggi serta mengoptimumkan pengurusan data dan sumber secara strategik.

Bagi mengiktiraf dan meraikan kejayaan ini, Majlis Sesi Penyampaian Sijil Pencapaian MyRA 2025 (IA) telah diadakan dalam perjumpaan ketua jabatan bersama Naib Canselor pada petang ini, sebagai tanda penghargaan kepada PTJ dan warga akademik yang telah menyumbang secara langsung kepada kecemerlangan tersebut.

Naib Canselor USM dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga universiti atas komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam memastikan kecemerlangan penyelidikan terus diperkasa, di samping menegaskan bahawa pencapaian ini mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikan USM yang semakin matang dan berdaya saing di peringkat global.

Peningkatan prestasi ini didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kepimpinan strategik universiti yang berfokuskan kecemerlangan penyelidikan, peningkatan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi, pengukuhan kolaborasi penyelidikan antarabangsa, sistem pengurusan data yang lebih sistematik, dan responsif serta komitmen berterusan warga akademik dan sokongan pentadbiran.
Secara keseluruhannya, pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan USM dalam memperkukuh kedudukan sebagai universiti penyelidikan unggul sejajar dengan aspirasi nasional dan agenda global.
Teks: Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, Pengarah, Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 239