PRESIDEN PEMENANG DIPILIH TOKOH MAAL HIJRAH
PULAU PINANG, 11 Nov. 2013 – Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Dato’ Seri Yussof Latiff telah dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bersempena sambutan Awal Muharaam 1435 di sini baru-baru ini.
Ketokohan dan pengalaman luas yang diserlahkan oleh anak jati Pulau Pinang itu melalui penglibatannya dalam pelbagai lapangan meliputi aktiviti kemasyarakatan, perniagaan, sukan dan sebagainya telah menjadikan beliau calon tepat diiktiraf sebagai tokoh.
Menyertai senarai penerima anugerah, dua Profesor USM turut menerima Anugerah Khas Kecemerlangan bagi ketegori Akademik iaitu Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Ahmad Sukari Halim dan Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Kedua-dua akademia USM itu telah mengerah keringat dalam memajukan pembangunan penyelidikan bukan sahaja untuk meningkatkan kecemerlangan USM, namun turut memberi impak kepada dunia pendidikan dan manfaat kepada manusia secara global.
Pusat Islam USM turut mengiktiraf warganya meliputi kakitangan dari kumpulan pengurusan dan profesional, sokongan dan sebagainya dalam acara tahunan yang disambut sebagai meraikan kedatangan tahun baru dalam kalendar Islam tersebut.
Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan hadir bagi merasmikan program tersebut di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Ahli-ahli Lembaga Gabenor dan pegawai-pegawai utama Universiti.
Zulkefli dalam ucapannya berkata, beliau amat terharu dan bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh warga USM dalam menzahirkan sambutan Maal Hijrah dengan pelbagai acara kerohanian bagi meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah.
Katanya, tema sambutan di peringkat USM yang menjadikan wasatiyyah sebagai istilah yang ingin ditonjolkan sebagai asas kecemerlangan Universiti amat bertepatan dan selari dengan konsep yang dibawakan di peringkat nasional.
``Pada asasnya, keseimbangan ukhrawi dan duniawi adalah kunci kepada kejayaan umat Islam selama ini. Jika kita gagal dalam mengimbangi kedua-dua tuntutan itu dikhuatiri akan mencetuskan pelbagai pertembungan dan persengketaan,’ ujarnya.
Dalam pada itu, sambutan yang bertemakan “Wasatiyyah Menzahirkan Kecemerlangan Universiti” ini menjadi pentas penyatuan warga staf dan pengiktirafan Universiti terhadap individu-individu yang telah menyumbang kepada penghayatan dan dakwah Islamiah di peringkat Universiti, negara dan antarabangsa.
Zulkefli akan turut melancarkan Penyempurnaan Mashaf al-Quran Tulisan Tangan Resam Uthmani Universiti Sains Malaysia (Edisi Semakan Kedua). Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1215