USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KUKUHKAN KEDUDUKAN ANTARABANGSA, CATAT PENCAPAIAN CEMERLANG DALAM QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS BY SUBJECT 2026

ND3 1866 1

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkuatkan reputasinya di pentas global dengan pencapaian gemilang dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings by Subject 2026. Daripada 6,277 institusi yang dinilai di seluruh dunia, hanya 1,912 universiti berjaya tersenarai dan USM menonjol dengan merangkul kedudukan dalam 31 subjek yang khusus.

Pencapaian tahun ini menyaksikan lonjakan signifikan di kesemua lima bidang utama:
• Seni & Kemanusiaan melonjak 26 anak tangga ke kedudukan ke-181, 
• Kejuruteraan & Teknologi meningkat 20 anak tangga ke-157, 
• Sains Hayat & Perubatan naik 28 anak tangga ke-185, 
• Sains Tulen meningkat 18 anak tangga ke-201 dan 
• Sains Sosial & Pengurusan melonjak 10 anak tangga ke-166. 
 
Dalam kategori subjek khusus, Farmasi & Farmakologi terus menjadi bidang unggulan USM, dengan menduduki kedudukan ke-48 dunia dan meneguhkan status USM sebagai universiti teratas Malaysia dalam disiplin tersebut. Selain itu, USM turut menjuarai dalam negara bagi subjek Kimia dan Arkeologi.
 
Selaras dengan revolusi teknologi semasa, USM juga mencatatkan kemasukan sulung yang memberangsangkan dalam Sains Data & Kecerdasan Buatan, berada dalam kelompok 101–200 dunia. Secara keseluruhan, 19 subjek USM kini tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia, dengan 11 subjek menunjukkan peningkatan, antaranya:
Farmasi & Farmakologi (48), Sains Bahan (124), Kimia (140), Sains Komputer & Teknologi Maklumat (160), Bahasa & Kesusasteraan Inggeris (101-150), Sains Persekitaran (151-200), Seni & Reka Bentuk (151-200), Bahasa Moden (151-200), Statistik & Penyelidikan Operasi (151-200), Kejuruteraan Mekanikal, Aeroangkasa & Pembuatan (151-200), Sains Biologi (201-250).
 
Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM berkata:
"Kejayaan ini jelas adalah hasil dedikasi tinggi seluruh warga USM dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan bertaraf antarabangsa, sekaligus memberi impak nyata kepada masyarakat, industri dan komuniti global serta menjadi kebanggaan negara."
 
Pencapaian ini menegaskan keterampilan kedudukan USM sebagai universiti terkemuka Malaysia dan membuktikan daya saing universiti di peringkat antarabangsa. Syabas kepada seluruh warga USM atas dedikasi yang tidak berbelah bagi dalam menjulang nama universiti di pentas dunia.
 
Teks: Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) / Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM / Foto: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC)

Features

  • Created on .
  • Hits: 112

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025