USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CTEF TERAJUI DIALOG GLOBAL: KE ARAH MEMARTABATKAN PENDIDIKAN RENTAS SEMPADAN (TNE)

USM PULAU PINANG, 16 Mac 2026 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, melalui Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), baru-baru ini telah menganjurkan sebuah webinar antarabangsa menerusi platform Webex, dengan penyertaan hampir 300 peserta dari seluruh dunia.

Peserta terdiri daripada ahli akademik, penggubal dasar, pemegang taruh, dan pelajar pascasiswazah dari pelbagai negara termasuk India, Filipina, Pakistan, Indonesia, China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, Jerman, Bangladesh, Australia, Nigeria, Palestin, Sri Lanka, Iran, Jordan, Bahrain, dan Iraq.

Mereka bersama-sama meneliti cabaran, rangka kerja dasar, dan amalan terbaik dalam melaksanakan Pendidikan Rentas Sempadan (Transnational Education, TNE) dalam konteks pendidikan tinggi global.

Dengan tema “Sharing Experiences in Transnational Education (TNE): An International Perspective” (Perkongsian Pengalaman dalam TNE: Perspektif Antarabangsa), webinar tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, manakala ucapan penutup disampaikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa (IRD) KPT, Datin Noorazah Omar.

Sesi webinar turut dipengerusikan oleh Pengarah CTEF, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee.

Antara penceramah utama ialah Dr. Pankaj Mittal dari Pertubuhan Universiti-Universiti India (Association of Indian Universities, AIU), yang menjelaskan cabaran dalam mereka bentuk dan melaksanakan kurikulum TNE di India.

Beliau menekankan keperluan menyelaraskan piawaian akademik global dengan syarat kawal selia serta konteks sosio-budaya setempat bagi menjamin kelestarian.

Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pula menegaskan kepentingan sokongan dasar kebangsaan yang kukuh, rangka kerja peraturan yang jelas serta terdapatnya mekanisme jaminan kualiti mantap seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Beliau menyatakan bahawa elemen-elemen tersebut amat kritikal dalam memastikan kelestarian dan kewibawaan TNE di Malaysia.

Sementara itu, Profesor Stephen Boyle dari Monash University Malaysia menekankan kepentingan mengekalkan keseragaman piawaian akademik merentas kampus, menggalakkan kolaborasi antarabangsa serta memastikan pemantauan kualiti berterusan bagi menjamin integriti program TNE.

Penganjuran webinar tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh pendidikan tinggi global serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).

Hasil dapatan dan maklumat daripada webinar tersebut akan digunakan sebagai asas cadangan polisi oleh CTEF, yang bakal dibentangkan di Commonwealth Conference of Education Ministers (CCEM) sebagai usaha memperkukuh kerjasama dan memajukan pembangunan pendidikan tinggi dalam kalangan negara Komanwel.

CTEF merupakan inisiatif kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dengan Sekretariat Komanwel di London. Ia ditubuhkan bagi mengukuhkan kerjasama pendidikan tinggi antara negara-negara Komanwel serta berfungsi sebagai hab penyelidikan, pembangunan polisi, dan perkongsian amalan terbaik.

CTEF berpusat di Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) USM, sekali gus menjadikan USM sebagai pusat operasi bagi semua aktivitinya.

Teks Asal: Dr. Nur Rafidah Asyikin Idris/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Sri Jeyanthirar Subramaniam, IPPTN, USM

  • Created on .
  • Hits: 77

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025