CIPTA SEJARAH: USM RINTIS PROJEK VARIOM MANUSIA ASIA TENGGARA
KOTA BHARU, 10 Nov. 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kepakaran akademianya mengukir sejarah baru dalam bidang perubatan dengan penubuhan Projek Variom Manusia Nod Asia Tenggara (HVP SEA) yang dilancarkan di sini semalam.
Projek variom manusia adalah satu inisiatif global yang berperanan sebagai satu mekanisme mengumpul dan menyusun data-data genomik, variasi penyakit dari segi klinikal dan individu dari semua kumpulan etnik di negara ini dan dikongsikan di seluruh dunia.
Ketua Pengarah Projek Variom Manusia Nod Malaysia (MyHVP), Profesor Dr. Zilfalil Alwi berkata, MyHVP diberi kepercayaan dan tanggungjawab besar oleh HVP Global yang berpusat di Melbourne, Australia untuk menyelaras, sekaligus mengetuai penubuhan HVP SEA.
Katanya, tanggungjawab itu diberikan setelah Malaysia melalui MyHVP telah berjaya mewujudkan satu pengkalan data yang mengandungi meklumat-maklumat genetik populasi penduduk di Malaysia setelah ditubuhkan pada Oktober 2010.
``Kita telah mula mengisi data-data berkaitan maklumat asid deoksiribonukleik (DNA) atau variasi genetik penduduk Melayu yang terdiri dari individu normal yang sihat dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit seperti talasemia, kanser, G6PD dan sebagainya.
`` Pengumpulan data adalah satu proses yang berterusan dan sehingga kini MyHVP sedang meluaskan kajian untuk mendapatkan data dari masyarakat lain termasuk Cina, India dan juga orang asli,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran HVP SEA oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Adnan Hussein di sini semalam.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Ahmad Sukari Halim dan Ahli Lembaga Pengarah HVP, Chris Arnold.
Terdahulu, Zilfalil turut mengadakan syarahan umum bertajuk 'Mengenali Masyarakat Melayu Melalui Kajian DNA Dan Implikasinya Terhadap Penyakit dan Evolusi' sempena pelantikannya sebagai profesor.
Zilfalil yang juga Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Genetik Klinikal berkata, projek yang turut disokong oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) ini dapat menghubungkan maklumat dari seluruh dunia berkaitan variasi genetik dan evolusinya.
``Dengan adanya pengkalan data global ini, para doktor dapat mengakses maklumat dari aspek genetik penyakit yang boleh menentukan kecenderungan seseorang yang berisiko untuk mendapat sesuatu penyakit.
``Ia turut berupaya menjimatkan kos rawatan kerana dengan adanya maklumat-maklumat melalui HVP, doktor dapat menjalankan diagnosis dengan tepat dan memberikan rawatan paling berkesan, sekaligus menjimatkan kos dalam pembiayaan ratawan yang diperlukan,’’ ujarnya.
Katanya, HVP memberi banyak manfaat, bukan sahaja untuk pengamal perubatan malah untuk penyelidik-penyelidik lain di peringkat antarabangsa meliputi bidang-bidang seperti antropologi, arkeologi, sejarah dan sebagainya.
Dalam pada itu, Adnan pula menegaskan USM komited memberi sokongan kepada My HVP dan HVP SEA dan sehingga kini telah membiayai penyelidikan di bawah kepimpinan Zilfalil dengan Geran Penyampaian Kecemerlangan (Deliverig Excellent) berjumlah RM 1.2 juta.
``HVP adalah antara projek penyelidikan yang telah dikenal pasti sebagai berimpak tinggi yang dilihat dapat memacu kecemerlangan USM bukan sahaja di persada tempatan malah di arena global.
``Kita berharap Nod ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa dan USM akan terus membantu malalui geran-geran tertentu di bawah program pemacuan untuk kecemerlangan (APEX),’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1433