USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC LANCAR LAMAN WEB RASMI HARI WARGA STAF

PULAU PINANG, 8 Nov. 2013 – Seiring dengan perkembangan teknologi hari ini, segala informasi dan maklumat berguna berkaitan program Hari Warga Staf Universiti Sains Malaysia (USM) 2013 kini boleh diperoleh di hujung jari.

Hal ini kerana satu laman web rasmi Hari Warga Staf USM 2013 telah pun dilancarkan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam satu majlis ringkas di sini baru- baru ini.

Menurut beliau, laman web ini mengandungi maklumat lengkap tentang aktiviti, syarat penyertaan dan hebahan sempena persiapan Hari Warga Staf yang dijadualkan berlangsung pada 30 November 2013 di Kampus Induk, USM, Pulau Pinang.

``Program ini merupakan aktiviti tahunan yang mencungkil bakat dan kreativiti warga universiti dalam aktiviti sukan, rekreasi dan kebudayaan sebagai wadah untuk menyatukan penglibatan semua staf peringkat pensyarah, pentadbir dan ketua jabatan.

``Hari Warga Staf 2013 akan mempertemukan tujuh (7) kontingen yang akan bertanding mewakili semua pusat tanggungjawab (PTJ) masing-masing,’’ katanya.

Dalam pada itu, tema sambutan yang dipilih pada tahun ini ialah ‘Saya Sayang USM’ yang akan diterjemahkan melalui aktiviti yang dipertandingkan.

Antara program menarik yang akan dijalankan ialah aktiviti Sukaneka, Larian Kampus, Pertandingan Memasak, Persembahan Kebudayaan, Maskot Mesra, Khemah Terbaik serta Perbarisan dan Pasukan Sorak Terbaik.

Setiap kontinjen yang bertanding akan menggunakan maskot burung-burung yang dapat dilihat dalam kawasan Kampus USM seperti burung Tampung Bajau, Merbah Surih, Birik-Birik, Sambar Kuning, Pipit Hutan, Pekaka Udang dan Pucung Harimau.

Semua staf yang mengambil bahagian dan berminat untuk menyertai acara gilang gemilang ini boleh mendapatkan maklumat lengkap di laman web http://registry.usm.my/hws sebagai panduan dan rujukan berkaitan penyertaan dan acara selain dari hebahan semasa berkaitan perkembangan terkini Hari Warga Staf 2013. Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1607

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024