HARI WANITA ANTARABANGSA 2026 DI PENJARA PULAU PINANG PERKUKUH PEMULIHAN BERTERASKAN KEMAHIRAN DAN REHABILITASI
SEBERANG PERAI, 22 Mac 2026 – Pada 18 Mac 2026, Penjara Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang melibatkan 150 prospek wanita di Penjara Seberang Perai.
Program tersebut merupakan manifestasi kepada peralihan paradigma institusi penjara, daripada model punitif (hukuman) kepada model pemulihan insan yang lebih holistik.
Fokus utama inisiatif tersebut adalah untuk memperkukuh jati diri, disiplin, dan persediaan sosioekonomi prospek sebelum diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
Keberkesanan program tersebut didorong dengan kerjasama strategik bersama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi penglibatan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.
Kolaborasi tersebut menggabungkan kepakaran akademik dan penyelidikan saintifik dalam membangunkan program pemulihan yang berimpak tinggi.
Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman melalui sesi bertajuk "Srikandi Tirai Besi Mendepani Cabaran Peradaban MADANI" menekankan aspek ketahanan psikologi dan pembentukan semula identiti sosial prospek.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, yang menzahirkan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan program inklusif bagi wanita dalam tahanan.
Beliau turut berpesan agar para prospek sentiasa menghargai diri sendiri dengan nasihat penuh makna: “Sayangilah diri anda.”
Salah satu mekanisme utama dalam proses pemulihan ini ialah Program Corporate Smart Internship (CSI) yang dijalankan di Penjara Seberang Perai.
Orang DiParol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) diberi peluang untuk bekerja dengan rakan strategik penjara namun ia masih di bawah pengawasan pegawai Parol bagi membangunkan kemahiran praktikal dan pembentukan disiplin peribadi.
Program tersebut berfungsi mengubah persepsi kendiri peserta daripada sekadar penghuni penjara kepada individu berkemahiran yang mampu menyumbang secara produktif.
Pada masa ini, program CSI bersama Mighty Sinergy Industries Sdn. Bhd., PakSu Bawal, dan Kopi Tan Cafe sedang aktif dijalankan dengan perancangan untuk perluasan pada masa hadapan dalam memberi peluang pekerjaan kepada prospek wanita.
Prospek wanita hanya merangkumi 8% daripada keseluruhan populasi prospek di Penjara Pulau Pinang, berbanding 4,541 prospek lelaki.
Keadaan ini memperlihatkan bahawa golongan wanita berdepan cabaran yang berbeza dan memerlukan pendekatan khusus. Justeru, aspek penjagaan kesihatan dan penjagaan diri wajar diberikan keutamaan agar kebajikan mereka terus terpelihara.
Menurut data antarabangsa, wanita dalam tahanan lebih terdedah kepada stigma sosial yang tinggi dan ketidakberdayaan akibat ketiadaan sokongan keluarga.
Kajian daripada dua agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan International Labour Organization (ILO) membuktikan bahawa latihan berstruktur semasa tempoh tahanan dapat meningkatkan peluang kejayaan hidup selepas dibebaskan.
Secara umumnya, sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 ini menunjukkan transformasi nyata dalam landskap penjara dan negara.
Melalui integrasi pendidikan, sokongan psikologi menerusi penglibatan USM, dan struktur program korporat seperti CSI, penjara kini berfungsi sebagai pusat pembangunan potensi diri yang memberi impak jangka panjang terhadap aspek sosial dan ekonomi negara.
Melalui program pemulihan dan kemahiran yang dipelajari, prospek lebih bersedia dan yakin untuk mencari peluang pekerjaan yang baharu dalam menjalani kehidupan bersama masyarakat.
Teks: Privinkumar Jayavanan/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Penjara Pulau Pinang
- Created on .
- Hits: 214