DUNIA ROBOTIK WARNAI FESTIVAL ANGKASA LEPAS USM PENANG
PULAU PINANG, 8 Nov. 2013 - Para pengunjung Universiti Sains Malaysia (USM) Penang Space Festival yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 November depan bakal disajikan dengan pengalaman dunia robotik yang canggih dan mengagumkan.
Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey berkata, festival tahunan kali kedua dianjurkan itu menggunakan tema khusus ‘Seni Dalam Dunia Robotik’ bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya, ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bentuk-bentuk baru dalam dunia sains Robotek (robotech), termasuk penggunaan teknologi terkini dalam penciptaan teknologi robot.
``Para pengunjung berpeluang melihat dunia sains robotek dengan lebih terperinci khususnya penciptaan teknologi robot yang membantu perkembangan bidang-bidang lain seperti animasi, penghasilan objek 3D dan multimedia.
``Festival ini juga diharapkan dapat menjadi medium khas kepada para pengunjung dari pelbagai latar belakang memahami dan peka terhadap perkembangan media digital,’’ ujarnya dalam sidang media bagi menghebahkan festival itu di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, festival yang disertai oleh lebih 30,000 pengunjung pada edisi pertama tahun lalu turut berperanan sebagai platform mengukuhkan pencapaian program libatsama universiti komuniti.
``Program ini berpaksikan kepada program libatsama komuniti antara USM dan pihak industri dalam bidang sains dan teknologi khasnya berkaitan dengan bidang-bidang astronomi atau sains angkasa dan bidang-badang lain yang berkaitan,’’ katanya.
Dalam pada itu, program tiga hari yang dibuka kepada orang ramai itu akan diadakan di Padang Kawad dan Dewan Utama Pelajar USM, dengan sajian pelbagai aktiviti menarik seperti pameran robotik, aktiviti pencerapan, permainan interaktif dan sebagainya.
Selain itu, pelbagai siri ceramah dan bengkel turut dianjurkan bagi memberi lebih makna kepada pengisian program yang juga bermatlamat untuk melahirkan modal insan celik sains dan teknologi khasnya di bidang kejuruteraan robotek dan astronomi.
Festival ini adalah anjuran bersama USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Northern Skills Development Centre (NSDC), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pelajaran Pulau Pinang. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1526