USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEPAKARAN PPAG DIIKTIRAF GLOBAL

141113-1

PULAU PINANG, 7 Nov. 2013 – Kepakaran tenaga akademik dan pengkaji-pengkaji Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang berteraskan arkeologi saintifik makin disegani dan diiktraf dunia.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, sehingga kini PPAG USM telah menjadi pakar rujuk dan terlibat dalam latihan serta penghasilan modal insan arkeologi bukan sahaja di negara ini, malah turut membantu penyelidikan di Bosnia, Sulawesi,  Sumatera, Pakistan dan sebagainya.

Katanya, kejayaan membanggakan itu turut dibantu dengan sokongan fasiliti bertaraf dunia yang ada di PPAG, termasuk Makmal Perincian Bahan Bumi serta peralatan kajian seperti XRD, XRF dan SEM yang banyak menyumbang kepada penghasilan penyelidikan yang berkualiti.

``USM akan terus memberikan sokongan padu dan berharap PPAG akan terus menyumbang dalam memenuhi keperluan ekosfera Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) Fasa 2, sekaligus memenuhi keperluan agenda pengajian tinggi negara,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Arkeologi Kebangsaan Ke-2 (SAK) yang turut disertai oleh peserta dari pelbagai latar belakang termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Jabatan Muzium Brunei, Jabatan Warisan Negara, Galeri Arkeologi Lenggong, Yayasan Warisan Johor, Muzium Sarawak dan sebagainya.

DSC 0360

Tambah Omar, PPAG juga disaran untuk menyebar luas dan membawa kesedaran kepada masyarakat untuk melihat ilmu pengetahuan dan penemuan baharu dalam bidang arkeologi sebagai salah satu medium untuk kita memahami jati diri.

Katanya, tatkala banyak pihak mempertikai kedudukan sejarah lampau, pengetahuan dan penemuan dalam arkeologi dilihat sebagai satu bukti penting untuk menangkis pandangan dan persepsi negatif oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Pengarah PPAG, Profesor Dr. Mokhtar Saidin pula berkata, penganjuran SAK yang dibuat lima tahun sekali berperanan sebagai satu platform untuk para akademia, pengkaji, ahli arkeologi dan sebagainya membentangkan hasil kajian mereka.

Katanya, tempoh lima tahun dilihat satu jangka masa yang sesuai bagi membolehkan setaip penyelidikan terbaru yang dijalankan mencapai tahap kematangan untuk dibentang dan dikongsi bersama peserta.

``Tujuan utama SAK adalah untuk berkongsi maklumat tentang arkeologi, warisan dan kebudayaan Malaysia yang terkini, selain turut membuka ruang kerjasama penyelidikan pada masa depan,’’ ujarnya.

Tambah beliau, PPAG telah berkembang pesat dalam tempoh lima tahun sejak 2008, termasuk menyumbang data penting kepada arkeologi global dengan penemuan penting Bukit Bunuh, Lenggong.

Selain itu katanya, PPAG turut berjaya melancarkan penerbitan khas Siri Arkeologi Perdana yang kini telah masuk penerbitan edisi ke-5, selain mewujudkan Galeri Arkeologi USM dan pelancaran program sahabat@ arkeologi USM di peringkat sekolah.

SAK turut menyaksikan pembentangan 46 kertas kerja dalam tempoh dua hari melibatkan lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1211

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024