USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DEWAN BUDAYA USM PERKUKUH JENAMA SENI UNIVERSITI MELALUI KOLABORASI INDUSTRI DAN AGENDA STRATEGIK NASIONAL

USM PULAU PINANG, 19 Mac 2026 – Penglibatan aktif Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program luar seperti Gemersik Syawal memperlihatkan kedudukan institusi itu sebagai antara entiti universiti yang semakin diiktiraf dalam ekosistem seni dan budaya tanah air.

98

Hasil tinjauan dan sesi temu bual bersama pihak pengurusan Dewan Budaya USM mendapati bahawa penyertaan dalam program anjuran pihak luar bukan sekadar memenuhi undangan persembahan, tetapi menjadi sebahagian daripada strategi memperluas keterlihatan dan kebolehpasaran bakat seni warga kampus di platform awam.

Ketua Unit Kebudayaan, Dewan Budaya, Andy Siti Nurhidayah Rahim memaklumkan bahawa penglibatan dalam Gemersik Syawal merupakan hasil kolaborasi berterusan antara Dewan Budaya dan pihak Queensbay Mall sejak empat tahun lalu.

Picture289

“Untuk tahun ini, penglibatan Dewan Budaya adalah melalui penyediaan pasukan persembahan bagi satu slot khas pada 3 Mac. Antara kumpulan yang terlibat ialah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan Kumpulan Kesenian Adikarma,” jelas beliau.

Menurutnya, berbeza dengan anjuran terdahulu yang melibatkan penglibatan lebih kerap sepanjang Ramadan, penyertaan kali ini lebih bersifat terpilih berikutan penyusunan program oleh pihak penganjur yang turut melibatkan institusi lain seperti Sekolah Kebangsaan Seri Permai.

Picture39o8

Pendekatan ini, bagaimanapun, dilihat tidak menjejaskan impak penyertaan USM.

Sebaliknya, ia mencerminkan keterbukaan Dewan Budaya dalam menyokong platform seni pelbagai lapisan, termasuk penglibatan bakat muda di peringkat sekolah, sekali gus memperkukuh jaringan seni antara institusi pendidikan.

Picture567

Secara konsisten, Dewan Budaya bukan sahaja berperanan sebagai penyedia bakat persembahan, malah turut terlibat dalam aspek pengacaraan dan pengisian program, menunjukkan keupayaan menyeluruh dalam pengurusan penerapan seni.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Budaya kini sedang mempergiat perancangan beberapa program utama yang dijangka menjadi penanda aras kepada aktiviti seni kampus tahun ini.

Antaranya termasuk penganjuran semula Malam Bintang USM selepas kali terakhir diadakan pada 2018.

Picture4657

Program berbentuk pertandingan nyanyian itu bakal menampilkan format baharu dengan penyertaan pelajar yang akan bersaing mewakili Desasiswa, manakala kategori staf dibuka secara umum kepada seluruh warga universiti.

Penganjur menyasarkan seramai 12 finalis, dengan peringkat separuh akhir dijadualkan pada 3 dan 4 April yang dirancang untuk diadakan di Balai Pasiban Agung, Pusat Pengajian Seni USM, diikuti pentas akhir pada 18 April di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).

Menariknya, acara kemuncak akan turut menampilkan artis jemputan, Hazama Azmi, juara Akademi Fantasia musim kesembilan, sebagai daya tarikan tambahan kepada khalayak.

Selain itu, Dewan Budaya turut menganjurkan Festival Filem Anak Muda Kali Ke-5 (FFAM-5), sebuah pertandingan filem peringkat kebangsaan yang menyasarkan penyertaan golongan belia.

Ia dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 14 Jun 2026 dengan tarikh tutup penyertaan pada 22 Mac 2026.

Picture6675

Dalam konteks yang lebih luas, Pengarah Dewan Budaya, Norhelmi Othaman menegaskan bahawa peranan institusi tersebut melangkaui fungsi sebagai ruang persembahan semata-mata.

“Sebaliknya, ia berfungsi sebagai pusat pembangunan bakat, pemangkin kolaborasi, dan medium pembinaan identiti budaya dalam kalangan warga universiti.

Picture854

Menurut beliau, Dewan Budaya menyediakan platform inklusif yang menghimpunkan pelajar, pensyarah, kakitangan, dan alumni dalam pelbagai aktiviti seni termasuk muzik, teater, dan persembahan budaya.

“Pendekatan ini menyumbang kepada pembentukan ekosistem seni yang kondusif serta menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik.

“Setiap program dirancang secara berstruktur bermula dengan penetapan objektif, pembangunan konsep, pembentukan pasukan produksi dan teknikal, serta strategi promosi yang melibatkan penyertaan aktif pelajar,” katanya.

Dari sudut pencapaian, beliau menyifatkan kejayaan utama Dewan Budaya terletak pada keupayaan konsisten dalam mengasah dan mengetengahkan bakat seni warga kampus.

Jelas Norhelmi, inisiatif seperti penubuhan USM Jazz Band yang telah beroperasi lebih dua dekad menjadi contoh kesinambungan pembangunan seni yang memberi impak bukan sahaja kepada universiti, malah kepada komuniti luar.

Picture7746

“Selain itu, pengukuhan jaringan kerjasama dengan penggiat seni luar turut menjadi fokus utama, sekali gus membuka ruang kepada warga kampus untuk terlibat dalam ekosistem industri kreatif yang lebih luas,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, dapatan temu bual ini memperlihatkan bahawa Dewan Budaya USM bukan sahaja berfungsi sebagai penganjur aktiviti seni, tetapi telah berkembang sebagai entiti strategik yang menghubungkan universiti dengan industri, komuniti, dan platform nasional.

Penglibatan dalam program seperti Gemersik Syawal serta penganjuran program-program berskala besar mencerminkan penerimaan positif terhadap keupayaan dan kredibiliti warga seni USM dalam pelbagai bentuk representasi budaya.

Pendekatan ini secara tidak langsung mengukuhkan imej USM sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut aktif dalam memperkasa seni dan budaya sebagai komponen penting pembangunan insan dan masyarakat.

Teks: Privinkumar Jayavanan/Foto: Dewan Budaya USM

  • Created on .
  • Hits: 131

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025