USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR KEMPEN ‘HEALING 100 HEARTS’ BANTU RAWATAN JANTUNG KANAK-KANAK

1000234796

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti, dan berteraskan kepakaran.

Sebagai pusat rujukan utama di Pantai Timur, HPUSM menawarkan pelbagai rawatan jantung termasuk kardiologi pediatrik dan pembedahan jantung kongenital yang kompleks, sekali gus menjadi harapan kepada pesakit kanak-kanak untuk kembali sembuh seperti kanak-kanak lain.

1000234786

Menyedari cabaran kewangan yang dihadapi oleh keluarga pesakit khususnya daripada golongan B40, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui HPUSM mengambil inisiatif melancarkan Kempen ‘Healing 100 Hearts’ 2026 bagi membantu 100 kanak-kanak yang memerlukan rawatan penyakit jantung kongenital selain meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan akses kepada rawatan berkualiti tanpa kekangan ekonomi.

1000234788

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, sebagai sebuah universiti penyelidikan yang berteraskan nilai kelestarian dan kesejahteraan sejagat, USM bukan sahaja berperanan sebagai institusi akademik dan penyelidikan, malah turut memikul amanah sosial dalam menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

“Pendekatan ‘University for Society’ menjadi asas kepada setiap usaha yang digerakkan agar ilmu dan kepakaran universiti memberi impak nyata kepada komuniti.

“Kempen ‘Healing 100 Hearts’ 2026 bukan sekadar satu inisiatif kutipan dana, ia merupakan manifestasi komitmen universiti untuk berdiri bersama masyarakat, khususnya golongan rentan yang memerlukan intervensi kesihatan kritikal.

1000234798

“Kempen ini mencerminkan nilai empati, solidariti, dan tanggungjawab kolektif dalam memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima rawatan yang sewajarnya,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM melancarkan kempen tersebut, hari ini.

Tambah Shaiful Bahari, inisiatif ini merupakan kolaborasi strategik antara USM, Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) dan rakan korporat, selaras dengan komitmen universiti terhadap tanggungjawab sosial dan kesejahteraan masyarakat.

“YJKM merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang komited membantu pesakit yang menghidap penyakit jantung kongenital (Congenital Heart Defects – CHD), khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Pada tahun 2024, YJKM dan USM telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi meningkatkan akses rawatan jantung kongenital di Pantai Timur dan melalui perjanjian ini, YJKM akan menaja rawatan pesakit daripada keluarga kurang berkemampuan sehingga RM3,000 bagi setiap kes yang layak,” ujarnya lagi.

1000234784

Beliau berkata, di negeri Kelantan sahaja, dianggarkan antara 250 hingga 300 bayi dilahirkan setiap tahun dengan kecacatan jantung kongenital dan kira-kira dua pertiga daripadanya memerlukan rawatan sama ada secara pembedahan atau perubatan.

“HPUSM merupakan satu-satunya hospital di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kongenital sekali gus menjadi institusi penting dalam rawatan penyakit ini.

“Menerusi Kempen ‘Healing 100 Hearts’ 2026 ini, YJKM menyasarkan untuk mengumpul dana bagi membantu 100 pesakit CHD yang memerlukan rawatan, mengurangkan beban kos rawatan dalam kalangan keluarga B40 dan mempercepatkan akses pesakit kepada rawatan kritikal yang menyelamatkan nyawa,” terangnya.

1000234790

Shaiful Bahari turut menjelaskan bahawa pesakit yang dikenal pasti oleh HPUSM untuk menerima manfaat program ini akan melalui proses penilaian dan kelulusan yang telus serta sistematik sebelum layak menerima bantuan.

“Dana yang diluluskan akan disalurkan terus kepada pihak hospital bagi menjamin integriti, ketelusan, dan akauntabiliti pengurusan kewangan.

“Antara kriteria kelayakan termasuk pesakit yang menerima rawatan di HPUSM dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan (kategori B40 bagi negeri Kelantan),” katanya lagi.

Kempen ‘Healing 100 Hearts’ 2026 bukan sekadar inisiatif pengumpulan dana, malah merupakan simbol keprihatinan dan solidariti masyarakat dalam memastikan setiap kanak-kanak yang dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital berpeluang menikmati kehidupan yang lebih sihat, cerah, dan bermakna.

Turut hadir dalam majlis pelancaran kempen tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif YJKM, Eric Tan Chin Zhia; Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YJKM, Lee Geok Hua; Ketua Pegawai Operasi YJKM, Dr. Hanis Syahira Hamdan; dan Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pelancaran Kempen ‘Healing 100 Hearts’ 2026, Profesor Dr. Zaidi Zakaria.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 74

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025