USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JAYAKAN PENUTUP PROGRAM TADARUS RAMADAN 1447H DENGAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN

Picture275

USM PULAU PINANG, 17 Mac 2026 — Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Muzakarah, Pusat Islam berdekatan dengan perkarangan Masjid Al-Malik Khalid sebagai acara penutup rasmi kepada program Tadarus Al-Quran sepanjang Ramadan 1447H/2026M, melibatkan penyertaan seramai 60 warga kampus.

Program anjuran Jawatankuasa Aktiviti Ramadan USM 1447H/2026M itu menghimpunkan peserta dalam enam kumpulan, yang terdiri daripada lima kumpulan lelaki dan satu kumpulan perempuan yang masing-masing dipimpin oleh pembimbing berpengalaman dalam bidang pengajian Al-Quran.

Struktur ini memastikan kelancaran bacaan serta memberi ruang kepada pembetulan secara langsung sepanjang sesi tadarus berlangsung.

Picture1748

Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustazah Nor Fadhilah Wahab berkata, objektif utama majlis ini adalah bagi menandakan penyempurnaan bacaan Al-Quran secara bertadarus daripada Juzuk 1 hingga Juzuk 30 sepanjang bulan Ramadan.

“Konsep khatam itu sendiri membawa maksud tamat atau selesai. Maka majlis ini menjadi simbol bahawa peserta telah berjaya menghabiskan bacaan Al-Quran secara berkumpulan sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, pelaksanaan program pada tahun ini masih mengekalkan pendekatan hibrid, iaitu gabungan antara tadarus secara bersemuka dan dalam talian.

“Walaupun pihak penganjur berhasrat mengembalikan amalan tradisional secara fizikal di masjid, majoriti peserta dilihat masih cenderung kepada kaedah dalam talian atas faktor fleksibiliti dan kekangan masa.

“Cabaran utama bukan pada penganjuran, tetapi dalam usaha menggalakkan penyertaan secara bersemuka. Peserta lebih selesa dengan kaedah dalam talian yang tidak memerlukan pergerakan dan membolehkan mereka menyesuaikan jadual dengan komitmen kerja,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, peserta program berjaya mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh 25 hari, lebih awal daripada jangka masa sebulan Ramadan.

Pencapaian ini menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dalam kalangan peserta walaupun pelaksanaan dilakukan secara hibrid.

Picture35

Seorang peserta, Azura Muhamad Marican, berkata program tersebut memberi peluang untuk meningkatkan kualiti bacaan Al-Quran melalui bimbingan tenaga pengajar yang mahir.

“Keistimewaan program ini adalah adanya pembimbing yang membetulkan bacaan secara terus. Ia membantu kami memperbaiki bacaan di samping menambah amalan ibadah sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kumpulan mereka memulakan tadarus pada 1 Ramadan dan berjaya mengkhatamkan bacaan pada 25 Ramadan.

Sementara itu, Dr. Fardzah Sulaiman menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil kerjasama dan sokongan berterusan dalam kalangan ahli kumpulan.

Picture55

“Dengan adanya semangat berkumpulan, kita dapat menyelesaikan bacaan dalam tempoh yang ditetapkan. Walaupun ada kekangan masa, komitmen bersama membolehkan kita mencapai sasaran,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sesi tadarus turut dijalankan pada hujung minggu, seawal jam 7.30 pagi, bagi memastikan kelancaran proses menghabiskan 30 juzuk Al-Quran.

Secara keseluruhan, penganjuran tahun ini memperlihatkan kesinambungan pendekatan pasca-pandemik yang menekankan fleksibiliti tanpa menjejaskan objektif utama program.

Walaupun usaha mengembalikan sepenuhnya konsep bersemuka masih berdepan dengan cabaran, kadar penyertaan dan kejayaan khatam menunjukkan keberkesanan pendekatan semasa.

Picture4564

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan, cenderahati berupa hamper, serta makanan dan kuih raya kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka sepanjang program berlangsung.

Penganjur berharap agar amalan membaca Al-Quran yang dipupuk sepanjang Ramadan ini dapat diteruskan secara konsisten dalam kehidupan seharian, selaras dengan matlamat memperkukuh penghayatan rohani dalam kalangan warga universiti.

Teks: Privinkumar Jayavanan/Foto: Afimie Baharit, Intern@ MPRC

  • Created on .
  • Hits: 161

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025