SUDUT BACAAN PENERBIT USM DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA PULAU PINANG SOKONG AGENDA MADANI

PULAU PINANG, 17 Mac 2026 – Seperti mana hasrat kerajaan MADANI untuk meningkatkan budaya membaca di Malaysia, Penerbit Universiti Sains Malaysia (Penerbit USM) telah mengambil satu langkah inisiatif dengan memperkenalkan Sudut Bacaan Penerbit USM di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Menurut Pengarah Penerbit USM, Profesor Dr. Goh Sang Seong, inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi menyediakan satu sudut bacaan santai kepada para pengguna lapangan terbang tersebut.

Katanya, di Sudut Bacaan ini, pelbagai genre buku disediakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Pengguna lapangan terbang tersebut khususnya penumpang-penumpang yang menunggu penerbangan mereka, boleh memilih buku yang menarik dan membacanya seketika, sekali gus menjadikan masa menunggu di lapangan terbang lebih bermakna dengan aktiviti yang berilmu.
“Buku-buku yang disediakan hanya dibenarkan untuk bacaan di sekitar Sudut Bacaan sahaja dan tidak dibenarkan untuk dibawa pulang,” tambahnya.

Goh berkata, Penerbit USM memilih untuk mewujudkan sudut bacaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai satu inisiatif strategik bagi memperluas akses masyarakat kepada bahan bacaan ilmiah serta memperkenalkan karya penulis tempatan kepada khalayak yang lebih luas.
“Sebagai pintu masuk utama kepada pelawat domestik dan antarabangsa, lapangan terbang merupakan lokasi yang strategik untuk mempamerkan buku-buku terbitan universiti kepada pelbagai lapisan pengunjung termasuk pelancong, penyelidik, pelajar dan masyarakat umum.
“Melalui kerjasama strategik ini, Sudut Bacaan tersebut turut memperkukuh imej Pulau Pinang sebagai destinasi yang menghargai ilmu dan pendidikan,” ujarnya lagi.

Pada masa ini, Sudut Bacaan Penerbit USM ditempatkan di tiga lokasi utama di lapangan terbang tersebut iaitu di ruang domestik, ruang antarabangsa, dan ruang menunggu tetamu kenamaan.

Melalui inisiatif ini, Penerbit USM berharap usaha kecil ini dapat menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di samping memperkenalkan penerbitan universiti kepada khalayak yang lebih luas.
Teks: Mohd Zaidi Abdullah, Ketua Bahagian Pemasaran dan Penjualan, Penerbit USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Penerbit USM
- Created on .
- Hits: 170