USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEDEKAH RAMADAN: PENERBIT USM MENYAMBUNG PELITA ILMU BUAT KOMUNITI SETEMPAT

Sekolah Tunas Bakti

PULAU PINANG, 17 Mac 2026 – Sebagai kesinambungan kepada inisiatif sedekah Ramadan yang dilaksanakan pada Ramadan tahun lalu, Penerbit USM melalui Bahagian Pemasaran dan Penjualan terus turut memperluas program sedekah Ramadan tahun ini dengan menyantuni beberapa institusi pendidikan dan kebajikan lain di sekitar Pulau Pinang.

Antara institusi yang terlibat ialah Yayasan An-Nahdhoh, Pusat Kecemerlangan As-Syafie, Pusat Pendidikan Al-Ikram, dan Sekolah Tunas Bakti.

Pusat Pendidikan al Ikram

Menurut Ketua Bahagian Pemasaran dan Penjualan, Penerbit USM, Mohd Zaidi Abdullah, sumbangan buku ini bertujuan untuk memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti kepada para pelajar dan penghuni institusi berkenaan agar mereka dapat memanfaatkan masa dengan aktiviti yang membina dan memperkaya pengetahuan.

“Buku-buku yang disumbangkan merangkumi pelbagai bidang seperti motivasi, agama, bahasa, sastera, dan bacaan umum yang bersesuaian dengan peringkat umur para pelajar dan penghuni institusi tersebut.

“Melalui usaha ini, Penerbit USM berharap bahan bacaan yang disediakan dapat menjadi sumber inspirasi serta membantu membina minat membaca dalam kalangan mereka, di samping menyokong usaha institusi-institusi tersebut dalam membentuk sahsiah dan perkembangan intelektual generasi muda,” jelasnya.

Sumbangan kepada Pusat Kecemerlangan Paksy 1

Menurut Zaidi lagi, seiring dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan, perkongsian dan kasih sayang, sumbangan ini diharapkan dapat memberi makna yang lebih mendalam kepada penerima serta menyemai kesedaran bahawa ilmu merupakan antara sedekah yang berpanjangan manfaatnya.

Dalam pada itu, Pengarah Penerbit USM, Profesor Dr. Goh Sang Seong pula berkata, inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan Penerbit USM dalam menjadikan buku sebagai jambatan ilmu yang dapat menyentuh pelbagai lapisan masyarakat.

Pusat Kecemerlangan Paksy

“Melalui usaha kecil ini, Penerbit USM berharap agar budaya membaca terus subur dalam komuniti setempat dan mampu melahirkan generasi yang berilmu, berfikiran terbuka serta berdaya saing pada masa hadapan,” ujarnya.  

Goh juga berharap agar inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program kebajikan berasaskan ilmu pada masa akan datang.

Teks: Mohd Zaidi Abdullah, Penerbit USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Penerbit USM

  • Created on .
  • Hits: 151

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025