USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH USM UNGGULI ANUGERAH PERSAMA 2013

DSC 0065

PULAU PINANG, 7 November 2013  - Pensyarah Pusat Pengajian Sains Matematik (PPSM), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Abdul Rahni Mt Piah mengungguli senarai pemenang Anugerah Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) tahun ini apabila dinobat sebagai Felo PERSAMA 2013 di sini hari ini.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai pensyarah di PPSM, USM sejak 1986 menerima anugerah tersebut sempena Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-21 (SKSM) yang dianjurkan oleh PPSM dan PERSAMA.

Bidang utama penyelidikan Abdul Rahni ialah teori penghampiran dan reka bentuk geometri dibantu komputer.

Selain beliau, turut dinobatkan sebagai Pemenang Utama adalah Zarita Zainuddin dan Ong Pauline dari PPSM USM bagi ketegori Rekacipta Matematik dengan tajuk “Intelligent Cancer Type Identification System”.

Sebanyak lapan kategori dibuka untuk pencalonan  dan sebanyak 81 penyertaan iaitu daripada 12 buah institut pengajian tinggi, tujuh penerbit dan enam buah sekolah diterima. Di antara institusi yang mengambil bahagian adalah Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia serta Sekolah Menengah Sains Tungku Munawir, Negeri Sembilan.

DSC 0060

Menurut Presiden PERSAMA, Profesor Dr. Maslina Darus, kejayaan para penerima anugerah pada hari ini dapat menjadi inspirasi dan pendorong kepada rakan-rakan ahli PERSAMA yang lain untuk cemerlang pada masa hadapan.

Berucap merasmikan SKSM, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata penganjuran SKSM adalah amat bertepatan dengan masa sekarang kerana pembelajaran sains dan matematik harus dijadikan sesuatu yang menarik. Melalui medium inilah semua tenaga pengajar dapat berkumpul dan mencapai beberapa teknik dan kaedah pengajaran sains dan matematik untuk manfaat bersama.

“Mata pelajaran sains dan matematik tidak boleh diajar dalam suasana yang bosan. Ia haruslah menjadi sesuatu yang menarik minat pelajar khususnya bidang ini yang amat penting dalah pembangunan komuniti dan masyarakat,” ujar Omar.

DSC 006

Turut hadir adalah ahli Lembaga Gabenor Universiti USM yang juga Ketua Editor buletin PERSAMA, Profesor Dato’ Rosihan M Ali, Dekan PPSM USM, Profesor Dr. Ahmad Izani Md Ismail, Presiden Taylors University Profesor Dato’ Dr. Hassan Said dan Pengerusi SKSM Dr. Mohd Tahir Ismail. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Yong Check Yoon

 

  • Created on .
  • Hits: 1723

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024