PKTAAB ANJUR MAJLIS IFTAR PERDANA, PERKUKUH JALINAN USM BERSAMA KOMUNITI

BERTAM, PULAU PINANG, 13 Mac 2026 – Dalam suasana penuh keberkatan pada 23 Ramadan, warga Universiti Sains Malaysia (USM), rakan strategik industri, dan komuniti setempat berhimpun dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) yang berlangsung di Kapok Asmara Centre, Bertam.
Majlis yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat ini bukan sahaja menjadi platform berbuka puasa bersama, malah mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan sosial, dan komitmen universiti dalam mendekati masyarakat melalui inisiatif kesihatan, pendidikan, dan kebajikan.


Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, PKTAAB kini berada pada landasan yang semakin kukuh sebagai pusat rujukan utama dalam bidang perawatan dan penyelidikan kanser di negara ini.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga PKTAAB atas pemasyhuran nama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Januari 2026 yang lalu di Istana Arau, Perlis.

Sementara itu, Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkata, perkembangan pesat PKTAAB sejak penubuhannya pada tahun 2002 sebagai IPPT membuktikan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh bidang perubatan khususnya rawatan kanser.
Beliau berkata, PKTAAB kini dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan berteknologi tinggi terutamanya alatan radioterapi termasuk ‘brachytherapy afterloader,’ satu mesin ‘superficial radiative hyperthermia’ yang mampu memberikan rawatan kanser yang lebih efektif, terutama bagi kanser kepala and leher yang telah merebak, serta mesin radioterapi linear accelerator (LINAC) kedua yang mampu membantu memendekkan tempoh menunggu pesakit bagi mendapatkan rawatan radioterapi.


Menurutnya lagi, perawatan menggunakan kaedah brachytherapy juga sedang diperluaskan merangkumi kanser hati, oesophagus, serviks, dan prostat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PKTAAB yang berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan termasuk juadah berbuka puasa, tadarus al-Quran, kuliah ilmu, dan sumbangan kepada golongan memerlukan serta penganjuran Majlis Iftar Perdana ini.


Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan kepada staf, pelajar, dan komuniti setempat yang disempurnakan oleh Naib Canselor sebagai tanda keprihatinan, dan juga sumbangan daripada wakil Etiqa sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.
Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Mohd Lokman Mukhtar, yang menambahkan lagi penghayatan Ramadan dalam kalangan hadirin.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Islam, Ustaz Zayd Zhari; bersama tetamu jemputan kenamaan, warga komuniti, pegawai-pegawai utama, warga kerja, dan pelajar PKTAAB.
Teks: Nurul Amira Mohd Ali/Foto: Norizan Ishak & Noorsyuhada Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 81