USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI BUKAN SEKADAR SEBUAH INSTITUSI, TETAPI KOMUNITI YANG SALING MENYOKONG – NAIB CANSELOR

IMG 20260316 WA0086

NIBONG TEBAL, 4 Mac 2026 – Majlis Berbuka Puasa Bersama Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 Peringkat Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan muhibah di Anjung Insani, Pusat Islam di sini hari ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menyatakan bahawa Ramadan memberi ruang kepada warga universiti untuk memperlahankan langkah dan menilai semula keutamaan dalam kehidupan seharian.

IMG 20260316 WA0083

Menurut beliau, dalam kesibukan tuntutan akademik dan pengurusan, Ramadan mengingatkan bahawa universiti bukan sekadar institusi ilmu, tetapi sebuah komuniti yang saling bergantung dan saling menyokong.

Beliau turut menekankan bahawa kecemerlangan akademik dan daya saing global merupakan tanggungjawab asas universiti, namun kekuatan sebenar sesebuah institusi terletak pada nilai yang dipegang bersama.

“Reputasi dibina melalui pencapaian, manakala kepercayaan lahir daripada integriti dan tanggungjawab terhadap komuniti,” ujar beliau.

IMG 20260316 WA0082

Sejajar dengan semangat tersebut, beliau maklumkan bahawa sepanjang Ramadan ini, Jawatankuasa Aktiviti Ramadan kampus telah mengagihkan 120 Kit Sumbangan Insani Ramadan kepada pekerja kontrak cucian.

“Ianya adalah tanda penghargaan atas peranan mereka yang memastikan kampus sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk kita bekerja dan belajar,” kata Naib Canselor.

IMG 20260316 WA0085

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen universiti untuk terus menambah baik kemudahan dan juga menyediakan prasarana yang selesa dan inklusif untuk warga kampus.

Antara inisiatif yang dimaksudkan ialah pembangunan Anjung Insani Pusat Islam, yang turut dirasmikan beliau pada majlis hari ini.

IMG 20260316 WA0081

“Kemudahan ini merupakan ruang baharu di Pusat Islam yang disediakan untuk manfaat bersama warga Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan diharap ia akan menjadi platform interaksi yang lebih kondusif sambil memperkukuh silaturahim sesama kita,” katanya.

IMG 20260316 WA0084

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, pelbagai pengisian telah dirangka sepanjang bulan Ramadan oleh Pusat Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Aktiviti Ramadan kampus.

IMG 20260316 WA0078

“Antara program yang dilaksanakan termasuk tazkirah ringkas, majlis berbuka puasa, sumbangan kepada mereka yang memerlukan, solat berjemaah, tarawih, dan qiamullail pada 10 malam terakhir,” katanya.

Beliau menjelaskan, meskipun kampus kini berada dalam tempoh cuti semester dan aktiviti akademik tidak berjalan seperti biasa, suasana Ramadan tetap dihidupkan melalui program-program yang menyatukan warga kampus.

“Penglibatan staf akademik, staf pentadbiran, pekerja sokongan dan para pelajar dalam setiap penganjuran juga amat memberangsangkan, tidak kira bangsa mahupun agama,” ujar beliau lagi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 64

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025