SESI ORIENTASI PELAJAR ANTARABANGSA USM: LANGKAH PERDANA DI BUMI ILMU

USM PULAU PINANG, 13 Mac 2026 – Jika kampus Universiti Sains Malaysia (USM) biasanya meriah dengan aktiviti pelajar tempatan, selama tiga hari pada minggu kedua Mac 2026, Dewan Utama Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA) pula menjadi tempat pertemuan pelajar antarabangsa.
Ketika itulah berlangsungnya Minggu Orientasi Pelajar Antarabangsa Semester Spring 2026 dari 9 hingga 11 Mac.
Program tersebut mempertemukan 101 pelajar pertukaran dari 21 negara dengan kehidupan kampus dan budaya Malaysia.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Antarabangsa (International Office, IO) dengan sokongan USM Buddies (kumpulan sukarelawan pelajar) tersebut bertujuan membantu pelajar antarabangsa menyesuaikan diri dengan ekosistem universiti dan memahami kepelbagaian budaya di Malaysia.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa (IO), Profesor Dr. Lee Keat Teong, bersama para pegawai IO yang lain.
Hari pertama dipenuhi dengan pelbagai sesi penerangan yang bertujuan memperkenalkan pelajar kepada landskap akademik dan budaya di USM.
Para pelajar diberi pendedahan mengenai universiti, negeri Pulau Pinang, dan kehidupan sebagai pelajar melalui taklimat yang dikendalikan oleh USM Buddies.
Selain itu, beberapa sesi penting turut diadakan meliputi aspek etika budaya Malaysia, urusan visa, perlindungan insurans, dan penggunaan sistem digital universiti, bagi memastikan para pelajar memahami proses pentadbiran dan keperluan akademik sepanjang tempoh pengajian mereka.
Bagi kebanyakan pelajar yang baru tiba di negara ini, sesi-sesi tersebut memainkan peranan penting dalam mengurangkan kekeliruan dan kebimbangan awal ketika memulakan pengajian di luar negara.

Yasmine, pelajar pertukaran dari Perancis, berkongsi bagaimana program ini banyak membantunya menyesuaikan diri pada peringkat awal kehidupan di universiti.
“Minggu orientasi ini sangat membantu kami memahami kehidupan di USM, termasuk proses pendaftaran kursus serta urusan visa, insurans, dan yuran. Bagi pelajar pertukaran yang baru tiba dan masih agak keliru, program ini benar-benar memudahkan kerana kami dibantu dalam menguruskan hampir semua perkara penting.”
Pengalaman tersebut mencerminkan matlamat utama program orientasi ini, iaitu menyediakan panduan dan sokongan kepada pelajar antarabangsa agar mereka dapat memulakan perjalanan akademik dengan yakin.
Pada hari kedua, para pelajar diperkenalkan dengan ekosistem kampus dengan sesi lawatan sekitar universiti yang dikendalikan oleh USM Buddies.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali bangunan akademik, kemudahan universiti, dan kawasan kediaman pelajar.
Beberapa jabatan dan PTJ penting universiti turut mengambil bahagian dalam sesi orientasi tersebut, termasuk Jabatan Keselamatan, Pusat Rancangan Ko-Kurikulum, dan juga Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan.
Setiap PTJ berkongsi peranan masing-masing dalam menyokong pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.
Melalui sesi tersebut, para pelajar bukan sahaja memahami aspek akademik, malah turut didedahkan kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan sokongan yang tersedia di universiti, termasuk keselamatan kampus, aktiviti kokurikulum, dan sokongan bahasa.
Salah satu acara kemuncak sepanjang minggu orientasi ialah program Harmony Across Horizons (HAH) yang berlangsung pada 11 Mac 2026 di Dataran Merah, USM.
Program tersebut menghimpunkan 101 pelajar pertukaran dari 21 negara, termasuk Austria, Korea Selatan, Jerman, Indonesia, dan pelbagai negara lain.
Melalui persembahan kebudayaan, penceritaan, dan pelbagai bentuk ekspresi seni, para pelajar berkongsi warisan budaya negara masing-masing, sekali gus mewujudkan suasana yang meriah dan penuh warna-warni di kampus.
Sepanjang minggu orientasi berlangsung, USM Buddies memainkan peranan penting dalam membantu pelajar antarabangsa mengurus pelbagai urusan pentadbiran seperti pendaftaran kursus, dokumentasi visa, temujanji pemeriksaan kesihatan, dan urusan insurans.
Komitmen mereka dalam membantu pelajar antarabangsa turut mendapat penghargaan daripada para peserta program.

Daniel, pelajar pertukaran dari Switzerland, memuji pendekatan proaktif yang ditunjukkan oleh USM Buddies.
“Apa yang paling membantu ialah sikap proaktif USM Buddies dalam memastikan setiap pelajar benar-benar memahami maklumat yang disampaikan. Mereka bukan sekadar memberi penerangan, tetapi sentiasa memastikan semua pelajar dapat mengikuti setiap penjelasan dengan jelas. Pada pandangan saya, mereka menunjukkan empati dan keprihatinan yang tinggi terhadap pelajar antarabangsa.”
Sokongan seperti ini mencerminkan komitmen universiti dalam mewujudkan persekitaran yang inklusif, di mana pelajar antarabangsa berasa dihargai dan disokong sejak hari pertama mereka menjejak kaki di kampus.
Selain sesi taklimat dan lawatan kampus, Minggu Orientasi turut menekankan kepentingan hubungan komuniti dan pertukaran budaya.

Para pelajar antarabangsa turut dijemput menyertai majlis berbuka puasa di Masjid Al-Malik Khalid USM, di mana sebahagian daripada mereka turut menyertai aktiviti sukarelawan dengan membantu menghidangkan makanan kepada para hadirin.
Pengalaman tersebut memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk merasai sendiri budaya hospitaliti masyarakat Malaysia serta memahami tradisi tempatan dengan lebih mendalam.
Di samping itu, sesi pemeriksaan kesihatan dan susulan di Pusat Sejahtera turut diadakan bagi memastikan para pelajar memenuhi keperluan kesihatan sebagai sebahagian daripada proses dokumentasi pelajar antarabangsa.
Bagi kebanyakan pelajar antarabangsa, Minggu Orientasi bukan sekadar pengenalan kepada prosedur universiti, malah merupakan titik permulaan kepada pembinaan persahabatan baharu, pemahaman antara budaya, dan pengalaman akademik yang bermakna.

Melalui inisiatif seperti Harmony Across Horizons serta sokongan berterusan daripada USM Buddies, Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam mewujudkan persekitaran kampus yang meraikan kepelbagaian dan menggalakkan jaringan global.
Ketika para pelajar tersebut memulakan perjalanan akademik mereka di USM, mereka bukan sahaja hadir sebagai penuntut ilmu, malah sebagai duta budaya yang menyumbang kepada komuniti antarabangsa yang dinamik serta mencerminkan semangat global universiti ini.
Teks:Privinkumar Jayavanan/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Pejabat Antarabangsa (IO), USM
- Created on .
- Hits: 200