PBB IKTIRAF SUMBANGAN AKADEMIA
PULAU PINANG, 7 Nov. 2013 - Ahli akademik merangkap Penasihat Kehormat Right Livelihood College, Dato’ Dr. Anwar Fazal mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih sebagai penerima anugerah khas sempena majlis sambutan Hari Bangsa-bangsa Bersatu yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengarah World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) dipilih berdasarkan sumbangan yang amat signifikan dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Millenium (MDGs), seiring dengan hasrat murni yang dibawakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Anwar Fazal adalah salah seorang dari lapan tokoh lain yang diiktiraf oleh PBB, menerima anugerah tersebut dari Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin.
Menurut Residen Koordinator PBB, Michelle Gyles, fokus utama PBB dalam menjayakan MDG amat penting dan mana-mana individu, pemegang taruh, akademia, masyarakat awam dan sebagainya yang terlibat menjayakan matlamat tersebut harus diiktiraf.
`` PBB amat teruja dengan sumbangan masyarakat di negara ini yang telah ditunjukkan oleh semua pihak yang telah membantu memenuhi pelbagai sasaran dalam MDG.
``Ia secara tidak langsung turut meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk bersama-sama mencapai sasaran akhir MDG yang akan dinilai tidak lama lagi,’’ ujar beliau.
PBB di Malalysia baru-baru ini meraikan ulangtahun ke-68 dengan mengiktiraf pelbagai individu dari pelbagai sektor termasuk agensi awam dan swasta yang dilihat telah menunjukkan komitmen padu bersama PBB dalam menjayakan MDG.
Dalam pada itu, Anwar Fazal telah memberi sumbangan besar dalam membantu negara dan PBB menyelesaikan isu-isu kritikal termasuk mengurangkan kadar kematian melalui kaedah kempen pencegahan serta menyokong usaha menggalakkan penyusuan susu ibu.
Peranan beliau di pentas antarabangsa turut terserlah melalui penglibatannya dalam menjayakan asas penubuhan gerakan International Baby Food Action Network IBFAN dalam tahun 1979 dan WABA (1991). Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 892