ZIARAH PRIHATIN ALUMNI RPJJ BERIKAN SUNTIKAN SEMANGAT TERUS CEKAL

PULAU PINANG, 12 Mac 2026 – Pihak Pengurusan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diwakili oleh Timbalan Pendaftar, Mohd Rashid Abdul Rejab bersama Penolong Pendaftar Kanan (Pengurusan dan Alumni) yang juga Alumni Ambassador PPPJJ, Nor Rafizah Md Zain telah berkesempatan menziarahi salah seorang alumni RPJJ USM, Zunita Binti Sahat, 47 tahun, di sini hari ini, yang baru disahkan mengidap kanser Dinding Rahim (Endometrium).
Zunita atau lebih mesra disapa CJ adalah Alumni Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Major Organisasi dan bergraduat pada tahun 2017.

Beliau sebelum ini bekerja sambilan sebagai tutor dan juga mengajar tuisyen untuk anak-anak di kawasan tempat tinggal di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang, namun sejak didiagnos kanser, beliau berhenti mengajar kerana perlu memberikan tumpuan kepada rawatan.
“CJ sebelum ini bekerja dengan syarikat kontraktor dan kemudian semasa COVID-19 melanda negara, saya diberhentikan kerja,” katanya ketika membuka perbualan.

Beliau yang tinggal bersama suami dan ibu bapanya menerima ketentuan takdir tersebut dengan hati yang terbuka namun jauh di sudut hati beliau memohon orang ramai untuk mendoakan kesejahteraannya dan dikurangkan sakit yang ditanggung.
Beliau juga mempunyai penyakit lain selain kanser iaitu lemah jantung dan juga batu karang yang agak kronik dan pada masa ini menggunakan alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) semasa tidur.
“Alhamdulillah dan saya sangat bersyukur kerana menerima bantuan dari pelbagai agensi di Pulau Pinang termasuk sokongan mesin pernafasan dan kerusi roda,” tambah CJ yang sangat ceria ketika ditemui.
Beliau akan memulakan rawatan radioterapi pada akhir bulan ini.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah rakan beliau, Dr. Noorazlina Yusoff, yang juga merupakan alumni serta pensyarah sambilan PPPJJ.
Kunjungan tersebut sebagai tanda sokongan, kasih sayang, dan solidariti daripada keluarga besar PPPJJ serta komuniti Alumni RPJJ USM agar beliau terus kuat dan tabah menghadapi ujian ini.

Sekiranya rakan-rakan alumni dan orang ramai ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan kos rawatan dan keperluan beliau, sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut: Zunita Bt Sahat – Maybank 157139796155
Semoga CJ terus diberikan kekuatan, kesembuhan, dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua.
Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM
- Created on .
- Hits: 189