USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“HARMONY ACROSS HORIZONS: RAYA RADIANCE” MEMUPUK PERPADUAN KEPELBAGAIAN BUDAYA DI USM

Picture178 copy

USM PULAU PINANG, 12 Mac 2026 – Keindahan keharmonian budaya dan eratnya persahabatan antarabangsa telah mewarnai suasana di Dataran Merah, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Program “Harmony Across Horizons: Raya Radiance,” yang dianjurkan sempena Minggu Orientasi Pengajian Musim Bunga 2026, telah berjaya menghimpunkan pelajar dari serata dunia dalam satu majis yang penuh makna.

Program ini merupakan hasil usaha sama USM Buddies dengan kerjasama Pejabat Antarabangsa (IO) USM.

Program ini menjadi medan pertemuan yang meriah untuk 101 pelajar pertukaran dari 21 negara, sekali gus menjadikan Dataran Merah sebagai wadah ekspresi budaya melalui persembahan seni, perkongsian tradisi, dan interaksi sosial.

Penganjurannya mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan di peringkat universiti dan memupuk hubungan erat dalam kalangan warga komuniti USM.

Tema pada tahun ini, "Raya Radiance", dipilih bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Dataran Merah dihiasi dengan elemen dekorasi hari raya yang mencerminkan tradisi masyarakat Malaysia yang inklusif, di mana sesuatu perayaan itu disambut bersama tanpa mengira perbezaan latar belakang.

Keindahan tema ini turut terserlah melalui pakaian tradisional pelbagai bangsa yang digayakan oleh para peserta, sekali gus menambah kemeriahan program.

Picture267 copy

Penasihat program, Mugilan Ravi, berkata bahawa Harmony Across Horizons dirangka sebagai sebuah platform untuk merapatkan jurang budaya dan memperluas perspektif pelajar.

Menurut beliau, nama program ini mula diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu dengan tujuan menyediakan ruang interaksi yang melangkaui batasan budaya biasa.

“Konsep ini berakar daripada harapan bahawa keharmonian mampu melampaui segala bentuk perbezaan, sekaligus mendorong pelajar untuk menghargai kepelbagaian sebagai satu pengalaman kemanusiaan yang dikongsi bersama,” jelas Mugilan.

Kehadiran pelajar dari 21 negara membuka peluang untuk warga kampus saling berkongsi ekspresi budaya dan mendalami kefahaman tentang kemajmukan masyarakat global.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif seperti ini berjaya menjelmakan konsep warganegara global dalam bentuk pengalaman yang nyata.

“Universiti sering memperkatakan tentang kepentingan melahirkan warganegara global, namun melalui program sebegini, para pelajar dapat merasainya secara langsung. Mereka bukan sahaja menyaksikan kelainan budaya, malah berinteraksi, mempelajari, dan berkongsi budaya sendiri,” ujarnya lagi.

Lebih daripada sekadar persembahan, Mugilan menekankan bahawa program ini membawa mesej mendalam tentang toleransi dan rasa saling menghormati dalam masyarakat yang semakin terhubung.

“Apabila pelajar bertemu dengan kepelbagaian budaya, amalan keagamaan, dan cara hidup yang berbeza, mereka akan mula menghayati nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada perbezaan tersebut. Inilah yang penting dalam membentuk sikap terbuka dan keupayaan untuk hidup dalam keadaan harmoni,” tambahnya.

Kejayaan program ini banyak dipacu oleh dedikasi 28 ahli USM Buddies yang diketuai oleh Pengarah Projek, Fiona Anand Shah. Mereka telah bekerja keras menguruskan pelbagai aspek bagi memastikan kelancaran program.

Picture3765 copy

Bagi Presiden USM Buddies, Sharifah Nur Nabilah Syed Suhairi, detik paling bermakna ialah melihat kesungguhan para pelajar antarabangsa yang mengambil bahagian.

“Kegembiraan dan keterujaan yang terpancar daripada wajah mereka menjadikan segala usaha persediaan kami amat berbaloi. Apabila kami berinteraksi selepas program, kami dapat merasakan penghargaan mereka. Ini menunjukkan bahawa program ini benar-benar berjaya mewujudkan semangat kebersamaan,” katanya.

Beliau menyifatkan “Harmony Across Horizons” sebagai manifestasi usaha pengantarabangsaan di USM yang menyediakan ruang untuk budaya dari seluruh dunia bukan sahaja dipersembahkan, malah dikongsi dan dihayati bersama.

Semangat “Harmony Across Horizons” turut tergambar melalui pengalaman yang dikongsi peserta antarabangsa.

Picture467456 copy

Seorang peserta, Sema, meluahkan perasaannya tentang suasana positif program tersebut.

“Saya berpendapat program ini berlangsung dengan sangat baik. Kami menerima sambutan yang sangat positif daripada USM Buddies. Hal ini membuatkan kami berasa lebih selesa untuk meneruskan pengalaman belajar di sini. Kami juga berpeluang mengenali budaya Malaysia yang sangat kaya dengan keunikannya, di samping mempelajari budaya rakan-rakan dari negara lain. Secara keseluruhannya, ia adalah pengalaman yang sangat bermakna,” kongsinya.

Picture75467 copy

Bagi Daniel dari Switzerland, program ini menawarkan peluang unik untuk memahami budaya melalui seni persembahan.

“Apa yang paling menyentuh hati saya ialah apabila melihat pelajar dari lebih 21 negara mempersembahkan kebudayaan mereka dari perspektif sendiri melalui tarian dan seni. Pengalaman itu seolah-olah membuka tirai tradisi mereka serta membantu saya memahami bagaimana ritual dizahirkan melalui seni. Ia membuatkan saya berasa sangat dialu-alukan dan bersyukur kerana dapat berkongsi pengalaman bermakna bersama individu yang penuh keikhlasan,” katanya.

Picture854 copy

Pelajar dari Jepun turut berkongsi pengalaman berharga. Chihiro, salah seorang peserta persembahan, menyatakan bahawa program ini memberi peluang istimewa untuk memperkenalkan budaya Jepun.

“Kami berpeluang memperkenalkan budaya tradisional kepada para pelajar pertukaran. Sebagai pelajar Jepun, saya mempersembahkan tradisi dari empat wilayah iaitu Osaka, Okinawa, Tokyo, dan Kyoto. Detik yang paling menyeronokkan ialah apabila pelajar dari negara lain turut menyertai dalam persembahan kami, menjadikannya lebih meriah.”

Picture9536 copy

Seorang lagi pelajar Jepun, Nodoka, kagum dengan kepelbagaian persembahan yang memaparkan kekayaan budaya Malaysia.

“Melihat pelbagai persembahan dan budaya yang berbeza sangat menarik bagi saya. Ia benar-benar memperlihatkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia,” katanya.

Program ini diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang.

Seluruh peserta dihidangkan dengan juadah tradisional Melayu seperti rendang, ketupat, pelbagai kuih-muih, dan teh tarik.

Hidangan ini bukan sahaja memperkenalkan keistimewaan masakan tempatan, malah mencerminkan keunikan dan kemuliaan tradisi sambutan Hari Raya.

Picture65 copy

“Harmony Across Horizons: Raya Radiance” merupakan lebih daripada sekadar acara kebudayaan.

Ia adalah satu wadah bermakna yang membina persahabatan, memperkukuh dialog antara budaya, dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti pelajar yang pelbagai di USM.

Picture5567 copy

Melalui persembahan, interaksi, dan kegembiraan bersama, program ini berjaya menyampaikan mesej utamanya bahawa keharmonian tercipta apabila budaya bertemu dengan sikap terbuka, saling memahami, dan hormat yang ikhlas.

Teks: Privinkumar Jayavanan/Foto: Pejabat Antarabangsa (IO) USM

  • Created on .
  • Hits: 208

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025