USM PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN BAKAT DENGAN DUA UNIVERSITI TERKEMUKA JEPUN

USM PULAU PINANG, 12 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) semalam menerima kunjungan hormat daripada dua tokoh akademik tersohor Jepun, iaitu Presiden Toyohashi University of Technology (TUT), Profesor Dr. Akihiro Wakahara dan Presiden Shinshu University, Profesor Dr. Soichiro Nakamura.
Mereka disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Delegasi yang turut disertai oleh barisan pengurusan kanan kedua-dua universiti berkenaan menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan, dan pembangunan bakat bersama USM.

Kerjasama antara USM dan TUT telah terjalin hampir tiga dekad, bermula dalam bidang sains bahan dan berkembang ke bidang semikonduktor, pengurusan sisa, bioteknologi, dan pertanian.
Sepanjang tempoh tersebut, lebih 150 penerbitan bersama dalam jurnal antarabangsa berjaya dihasilkan, selain membuka peluang pertukaran staf akademik, bukan akademik, dan pelajar.
Dalam pertemuan tersebut, Naib Canselor USM dan Presiden TUT turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melanjutkan kerjasama USM dan TUT untuk tempoh lima tahun lagi.
Shinshu University pula merupakan rakan kerjasama baharu yang menjalin kerjasama dengan USM tahun lalu.
Minggu ini, pasukan dari Institute for Aqua Regeneration universiti tersebut akan melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM untuk meneroka peluang penyelidikan yang berpotensi.

Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor, Profesor Dr. Habibah A Wahab, bersedia membiayai bersama projek penyelidikan dalam bidang perubatan, bahan termaju, dan nanoteknologi bagi memulakan kerjasama dengan Shinshu University.
Dalam perjumpaan tersebut juga, Naib Canselor USM mencadangkan kerjasama tiga hala antara USM, TUT, dan Shinshu University bagi membangunkan bakat yang bersedia untuk industri semikonduktor yang pesat membangun di Pulau Pinang.
Cadangan tersebut disambut baik oleh kedua-dua presiden universiti Jepun yang melihat potensi besar terhadap inovasi serantau dan global.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong; Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) USM, Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf; dan Pengarah Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) USM, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Zamir Pakhuruddin.

Kunjungan tersebut menandakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan antarabangsa USM, memacu penyelidikan berimpak tinggi, dan melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran industri global.
Teks Asal: Profesor Dr. Lee Keat Teong, Pengarah Bahagian Akademik dan Antarabangsa, USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 74