USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUKUKAN DAPATAN PENYELIDIKAN SEBAGAI KHAZANAH ILMU, UJAR NC

071113-1

PULAU PINANG, 4 November 2013 - Para pensyarah dan penyelidik di universiti perlu menghasilkan lebih banyak karya penulisan sebagai langkah untuk mengkhazanahkan ilmu dapatan penyelidikan mereka supaya dapat dikongsi bersama dengan masyarakat umum.

Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika merasmikan majlis pelancaran buku-buku terbitan Penerbit USM 2013 di sini hari ini.

“Dapatan penyelidikan itu merupakan bukti himpunan pengalaman dan ilmu yang amat berharga yang perlu dikhazanahkan dan dimartabatkan agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum atau setidak-tidaknya kumpulan sasaran tertentu,” kata Omar.

Tambahnya lagi, universiti sebagai sebuah menara ilmu perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam menzahirkan erti sebenar penyebaran ilmu dan pada masa yang sama berkongsi dengan seluruh masyarakat apa yang kita lakukan di universiti dalam menerokai, memindah dan memaknakannya ilmu daripada pelbagai disiplin yang ada demi faedah manusia seluruhnya.

“Selain itu, pensyarah dan penyelidik USM sendiri perlu mengambil inisiatif untuk menghasilkan lebih banyak karya alam bentuk buku selain daripada penerbitan makalah dalam jurnal, walaupun penerbitan buku memang merupakan satu tugas yang amat mencabar dan mengambil masa yang agak panjang lebih-lebih lagi menghasilkan sebuah karya buku yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia apatah lagi yang dapat menembusi pasaran antarabangsa,” kata Omar lagi.

071113-2

Para pensyarah dan penyelidik yang menghasilkan karya buku juga diminta untuk menyokong penuh dan menjadikan Penerbit USM sebagai saluran perdana untuk menerbitkan karya mereka demi membantu melonjakkan kedudukan Penerbit USM setaraf dengan penerbit-penerbit terkemuka dunia yang mana buku-buku mereka memang dihormati dari segi kualiti dan kandungan penerbitannya.

“Memang menjadi hasrat universiti agar Penerbit USM dapat terus bergerak sebagai sebuah institusi dalaman yang memartabatkan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi dan menjadi institusi penerbitan yang menjadi penanda aras pada peringkat antarabangsa,” tambah Omar.

Dalam majlis yang sama, Pengarah Penerbit USM, Akhiar Salleh turut berkongsi beberapa pencapaian yang dikecapi oleh Penerbit USM sejak ia ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah Perpustakaan USM dan kemudiannya dinaik taraf sebagai Pusat Tanggungjawab yang bertaraf “Pusat” pada tahun 2003.

Katanya, sehingga kini Penerbit USM telah berjaya menerbitkan lebih daripada 1000 judul buku dan jurnal yang sebahagian besarnya dapat menembusi pasaran di hampir 30 buah negara di serata dunia.

“Pelbagai usaha telah dirancang dan sedang dijalankan oleh penerbit USM untuk meningkatkan lagi mutu kerja serta peka dengan perkembangan semasa dunia penerbitan supaya kekal releven dalam dunia penerbitan sekaligus memartabat dan mengangkat nama USM di persada dunia.

“Antaranya ialah penggunaan sistem e-Penerbit, iaitu pangkalan data bersepadu yang dapat merekod seluruh proses kerja penerbitan buku dari penerimaan manuskrip sehinggalah pemasaran dan penyimpanan stok buku; penerbitan buku elektronik atau e-Book yang semakin popular dalam kalangan pembaca generasi baru yang menggunakan gajet elektronik seperti tablet, telefon pintar dan sebagainya; pemasaran buku menggunakan e-Dagang yang membolehkan pembelian buku dilakukan dari seluruh pelusuk dunia secara online,” kata Akhiar.

Majlis bertemakan “Sanjungan Karya” ini menyaksikan sebanyak 41 judul buku pelbagai disiplin dilancarkan yang mana pengkaryanya bukan sahaja terdiri daripada kalangan staf USM malah dari pengarang luar juga.

Daripada 41 judul itu, sebanyak 31 judul adalah dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial manakala yang selebihnya dari bidang sains, teknologi dan perubatan.

Naib Canselor juga menyampaikan sijil dan cenderamata kepada pengarang sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menerbitkan buku dengan Penerbit USM.

Majlis pelancaran buku ini turut dihiasi dengan sesi Bicara Buku yang menampilkan mantan profesor matematik fizik di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Shaharir Mohamad Zain yang membicarakan karyanya berjudul ‘Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu.’

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Muhamad Jantan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti dan isteri; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey; dan Ombudsman USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sidang Pengarang Sastera, Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 987

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024