USM KUMPUL 25 PAKAR BENCANA DALAM PERSIDANGAN
PULAU PINANG, 23 Januari 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan juga Kerajaan Negeri Kelantan akan mengumpulkan seramai 25 orang pakar dalam pengurusan bencana dari seluruh negara dalam Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015.
“Pakar-pakar ini akan membincangkan pelbagai faktor untuk persediaan menghadapi banjir yang akan mengumpulkan lebih 400 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta,” ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman.
“Melalui persidangan ini, diharap empat pelan tindakan iaitu pelan mengelak, mengurus, memulih dan juga pelan integrasi antara agensi dalam pengurusan banjir dapat diwujudkan serta mengadakan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyeluruh untuk agensi pelaksana,” tambah Omar ketika ditemui di Perutusan Tahunan Naib Canselor atau Bersama-sama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU 2015) di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal.
Beliau juga bercadang untuk mewujudkan satu sistem amaran awal yang kepada orang awam untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan.
“Pada masa kini kita semua harus bersedia menghadapi bencana-bencana lain selain banjir kerana kita tidak lagi terkecuali lagi untuk menghadapi bencana lain,” ulas Naib Canselor.
Persidangan ini akan diadakan pada 14-16 Februari 2015 di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian dengan tema Penyelesaian Lestari dan Kerangka Implementasi.
Susulan daripada bencana banjir di Kelantan, sekumpulan staf Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) diketuai oleh Timbalan Pengarah, Mazlifendirizan Md Rejab akan menghulurkan bantuan makanan dan peralatan rumah kepada lebih 40 buah keluarga di daerah Dabong, Kelantan.
“Bantuan ini adalah inisiatif Kelab Kebajikan PPKT Kampus Kejuruteraan dan sumbangan adalah termasuk hasil pelancaran tabung bencana yang diedarkan hari ini bersempena BUKU 2015,” ujar Mazlifendirizan.
“Hasil kutipan yang melebihi RM1000 ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan rumah dan juga pakaian bayi berumur sehingga dua tahun,” tambah beliau lagi.
Kumpulan ini akan bertolak ke Dabong pada 30 Januari ini sehingga 1 Februari 2015. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1469