USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CEMACS USM TERAJUI INISIATIF KESELAMATAN LAUT NEGARA BERSAMA LADA LANGKAWI

Picture4573

USM PULAU PINANG, 12 Februari 2026 – Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama strategik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Remote Envenomation Consultancy Services (RECS), baru-baru ini menganjurkan Seminar Awam Envenomasi dan Keracunan Marin 2026 di Kompleks LADA, Langkawi.

Seminar ini menghimpunkan pakar perubatan kecemasan, toksinologi klinikal, dan saintis marin dari seluruh negara.

Ia menjadi platform penting dalam menghubungkan penyelidikan biodiversiti marin dengan kepakaran klinikal bagi menangani kecederaan dan keracunan yang diakibatkan oleh hidupan laut, khususnya di kawasan tumpuan pelancongan pesisir.

Penyelidik CEMACS memulakan seminar dengan pembentangan mengenai kepelbagaian obor-obor di perairan Malaysia, faktor ekologi yang mendorong fenomena ‘bloom,’ dan corak persekitaran yang meningkatkan risiko sengatan.

Picture255

Pasukan CEMACS turut membentangkan perkembangan terkini mengenai inisiatif pemantauan jangka panjang obor-obor, pembangunan pangkalan data serantau, dan penilaian ekologi lapangan yang mengaitkan variasi persekitaran dengan corak risiko sengatan.

Dengan berteraskan bukti saintifik yang kukuh, CEMACS menegaskan bahawa pengurusan risiko marin yang berkesan mesti berasaskan pemahaman ekologi, pemantauan berterusan, dan kesedaran awam yang tepat.

Picture357

Perunding RECS pula menyampaikan sesi klinikal mengenai pengurusan haiwan marin berbisa dan beracun seperti obor-obor, ikan batu, pari, dan ular laut.

Dr. Yvonne Teo Chiang Hoon menerangkan strategi pencegahan, pengenalpastian awal simptom, dan protokol pertolongan cemas berasaskan bukti seperti terapi rendaman haba, penggunaan lignocaine, dan teknik imobilisasi.

Dr. Zainalabidin Mohamed@Ismail memberi tumpuan kepada risiko keracunan ikan buntal, belangkas, dan bloom alga yang berbahaya, dengan penekanan kepada tanda neurologi, toksisiti sistemik, serta aspek keselamatan makanan di kawasan pesisir dan pelancongan.

Sesi ini turut disokong oleh pakar perubatan kecemasan dan toksinologi klinikal dari pelbagai institusi, mencerminkan terdapat perwakilan multidisiplin di peringkat nasional.

Picture1789

Sorotan utama seminar ialah latihan simulasi pengurusan kes sengatan teruk obor-obor, yang dikendalikan oleh pasukan RECS bersama Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Demonstrasi ini mempamerkan prosedur tindak balas awal yang tepat, penggunaan cuka mengikut kesesuaian, dan aplikasi asas Resusitasi Kardiopulmonari (CPR).

Peserta berpeluang mengalami sendiri protokol kecemasan berasaskan bukti, mengikuti forum interaktif bagi memperjelas salah tanggapan, dan membincangkan kerjasama antara penyedia kesihatan dan pihak industri pelancongan.

Seminar ini turut menarik penyertaan pengendali pelancongan, pengurus hotel, profesional kesihatan, wakil kerajaan, dan komuniti setempat.

Dengan sokongan LADA, inisiatif ini memperlihatkan pendekatan kolaboratif dalam tadbir urus keselamatan marin di Langkawi.

CEMACS dan RECS menghargai komitmen LADA dalam mempromosi pelancongan bertanggungjawab dan keselamatan masyarakat.

Perkongsian ini menekankan kepentingan penyelarasan antara penyelidikan saintifik, kesiapsiagaan perubatan, dan pengurusan pelancongan dalam memperkukuh ketahanan pesisir.

Program ini menjadi model pengurusan risiko marin bersepadu, seiring dengan agenda pembangunan pesisir lestari negara.

CEMACS kekal komited untuk menterjemahkan penyelidikan marin kepada strategi yang melindungi ekosistem, memperkasa komuniti, dan meningkatkan piawaian keselamatan marin negara.

Teks Asal & Foto: Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 113

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025