USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JAYAKAN THAIPUSAM THANNEER PANTHAL 2026: PERKUKUH TRADISI KHIDMAT MASYARAKAT INKLUSIF DAN LESTARI

WhatsApp Image 2026 02 12 at 19.41.43

PULAU PINANG, 7 Februari 2026 – Sekretariat Khidmat Masyarakat Thaipusam, Universiti Sains Malaysia (USM) memaklumkan bahawa program Thaipusam Thanneer Panthal USM 2026 telah dilaksanakan dengan jayanya mengikut perancangan baru-baru ini.

Penganjuran program tersebut meneruskan tradisi khidmat masyarakat yang telah bermula sejak tahun 1975, iaitu lebih lima dekad yang lalu.

Program Thaipusam Thanneer Panthal USM sekali lagi dianjurkan sebagai wadah penyatuan masyarakat, pemerkasaan kesukarelawanan, pengukuhan suasana inklusif, dan penerapan nilai tanggungjawab sosial.

WhatsApp Image 2026 02 02 at 19.50.01 1

Seperti tahun-tahun sebelumnya, program tersebut melibatkan penyertaan staf akademik dan pentadbiran, pelajar tempatan dan antarabangsa, alumni, mantan staf dan sukarelawan yang bersama-sama menyumbang tenaga dan sokongan kepada para penganut Hindu sepanjang sambutan Thaipusam.

Sepanjang program, Thanneer Panthal USM menyediakan makanan ‘vegetarian’ percuma dengan kemudahan tempat duduk untuk menjamu selera, minuman sejuk dan hidangan ringan. Selain itu, turut diadakan beberapa sesi perkongsian berkaitan kesedaran komuniti dan pendidikan.

Sesi-sesi berkenaan dikendalikan oleh warga USM bersama penceramah jemputan, dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penganut dan masyarakat. Ia sekaligus mencerminkan peningkatan minat terhadap perkongsian ilmu dan pengukuhan khidmat komuniti.

WhatsApp Image 2026 02 01 at 11.19.03 AM

Amalan Komuniti Secara Inklusif dan Lestari

Salah satu inisiatif yang menarik perhatian di panthal ialah sudut khas untuk ibu menyusukan anak, yang dioperasikan secara berterusan.

Penggunaannya terus meningkat setiap tahun, mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap inisiatif inklusif dan mesra keluarga ini.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen USM dalam mewujudkan persekitaran yang selamat, selesa, dan menyokong kehadiran ibu serta keluarga sepanjang sambutan Thaipusam.

Selaras dengan agenda USM Menuju Hijau, kelestarian kekal sebagai fokus utama dalam penganjuran panthal.

Pelbagai amalan mesra alam turut dilaksanakan, antaranya penggunaan pinggan dan cawan keluli tahan karat yang boleh diguna semula, pengurangan sisa buangan, dan program kesedaran kebersihan. Kesemua inisiatif ini memperkukuh komitmen USM dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

WhatsApp Image 2026 02 01 at 7.09.15 PM 2

Sokongan Institusi dan Penglibatan Sukarelawan

Kejayaan pelaksanaan Thaipusam Thanneer Panthal USM 2026 adalah hasil daripada sokongan institusi yang kukuh daripada kepimpinan universiti.

Sekretariat merakamkan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM), Profesor Dr. Azlan Amran; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; dan Timbalan Pendaftar BJIM, Mohd Faizal Md Osman atas kehadiran dan dorongan berterusan mereka.

Sokongan yang diberikan telah mengukuhkan semangat kesukarelawanan dan mendorong penglibatan yang lebih besar dalam khidmat masyarakat dalam kalangan staf, pelajar, alumni, dan sukarelawan.

WhatsApp Image 2026 02 02 at 19.49.43 2

Sekretariat turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para pemimpin di peringkat kebangsaan dan negeri yang telah berkunjung ke Thaipusam Thanneer Panthal USM 2026 sebagai tanda sokongan terhadap usaha khidmat masyarakat yang dijalankan.

Antaranya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB R. Yuneswaran; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal-Ehwal Agama Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, YB Lim Siew Khim; dan YB Senator Saraswathy Kandasami.

Kehadiran dan sokongan mereka telah mengukuhkan lagi nilai-nilai penyatuan, harmoni, dan suasana inklusif yang terhasil dari inisiatif khidmat masyarakat ini.

Program Thaipusam Thanneer Panthal USM 2026 juga mencerminkan komitmen pihak universiti dalam memberi penekanan terhadap beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDGs), terutamanya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik); SDG 4 (Pendidikan Berkualiti); SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan); SDG 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan); SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab); and SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat) melalui khidmat masyarakat secara inklusif menerusi pendidikan, tanggungjawab persekitaran, dan kolaborasi bersama pelbagai pemegang taruh.

WhatsApp Image 2026 02 12 at 19.41.43 1

Pihak Sekretariat juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua individu dan organisasi yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada kejayaan program tahun ini.

Meneruskan legasi sejak tahun 1975, Sekretariat berhasrat untuk terus mengekalkan tradisi bermakna ini pada tahun-tahun mendatang, bagi memperkukuh semangat kesukarelawanan dan meluaskan impak positifnya terhadap masyarakat.

Teks asal: Profesor Madya Dr. Yuvaraj Ganesan, Pengerusi, Sekretariat Khidmat Masyarakat Thaipusam USM & Pensyarah, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) USM dan Dr. Subramaniam Govindan, Penasihat, Sekretariat Khidmat Masyarakat Thaipusam USM/ Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/ Foto: Sekretariat Khidmat Masyarakat Thaipusam USM

  • Created on .
  • Hits: 49

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025