USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUKUHKAN UKHWAH DEMI KESEJAHTERAAN DUNIA DAN AKHIRAT – NC

041113-6

PULAU PINANG, 6 NOVEMBER 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman menyeru seluruh warga kampus sentiasa mengukuhkan ukhwah tanpa mengira perbezaan fahaman demi kesejahteraan dunia dan akhirat keseluruhannya.

Pada majlis Santapan Rohani sempena Sambutan Maal Hijrah 1435H di Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), beliau berharap seluruh umat Islam terutamanya tidak menjadikan perbezaan fahaman dan pendapat sebagai alasan untuk berpecah belah sesama sendiri.

“Antara kelemahan ketara umat Islam kini adalah kerana kita memilih haluan untuk berpecah belah atas sebab perkara-perkara yang remeh dan bukan ingin menegakkan syiar Islam”

Lantas itu Omar berharap sempena tahun baru Maal Hijrah 1435H, umat Islam dapat mengelakkan sebarang pertelingkahan hanya kerana perbezaan fahaman dan berusaha merapatkan ukhwah demi agama, bangsa dan tanah air.

Selain itu, beliau turut menyeru agar seluruh warga USM bekerja keras bagi memperoleh barakah dalam mata pencarian termasuklah keberkatan ilmu itu sendiri demi membangunkan universiti tercinta.

“Sempena meraikan awal tahun Islam ini, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan untuk universiti dan negara tercinta agar dijauhi sebarang malapetaka dan sentiasa mendoakan kebaikan buat saudara-saudara kita dari negara lain yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ancaman.”

Majlis Santapan Rohani sempena Sambutan Maal Hijrah 1435H peringkat Pusat Islam dan Qaryah Masjid Al-Malik Khalid USM turut dihadiri oleh Prof. Dr. Muhammad Jantan, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, USM dan Prof. Madya Nasirun Hj. Mohd Saleh, Pengarah Pusat Islam, USM.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Akhir Tahun 1434H, disusuli dengan Solat Hajat dan Doa Awal Tahun1435H selepas Solat Maghrib.

Turut diserikan lagi adalah kehadiran Ustaz Taha Mohd. Omar, Selebriti TV Al-Hijrah yang juga calon Sarjana ISDEV-USM, yang menyampaikan ceramah bertajuk “Ada Apa Pada Hijrah?”. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1087

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024