MEMBINA NEGARA DI ATAS TANGGUNGJAWAB BERSAMA - USM MERAIKAN SUMBANGAN KAUM HAWA SEMPENA HARI WANITA SEDUNIA
USM PULAU PINANG, 8 Mac 2026 – Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini, Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada seluruh wanita yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sama ada dalam bidang profesional, akademik mahupun sektor pekerjaan fizikal.
Selaras dengan tema global tahun ini, 'Give to Gain', USM menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak terbina melalui satu jalur sumbangan sahaja. Sebaliknya, ia terbentuk melalui pelbagai bentuk pengorbanan dan usaha wanita, daripada bilik mesyuarat dan pusat penyelidikan, hinggalah ke dewan kuliah, serta ruang-ruang kerja yang menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi negara.

Pada hari yang bermakna ini, penghargaan diberikan kepada seluruh wanita yang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja negara, sama ada melalui sumbangan intelektual mahupun tenaga fizikal. Hakikatnya, wanita turut memikul tanggungjawab besar dalam pembangunan negara dan sudah tiba masanya institusi serta masyarakat memberikan pengiktirafan serta sokongan yang setimpal terhadap peranan tersebut.
Perjalanan wanita Malaysia dalam dunia pekerjaan boleh disifatkan sebagai satu bentuk perubahan sosial yang berlaku secara beransur namun berkesan.
Menurut kenyataan rasmi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying, semasa Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 4 Februari 2026, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di peringkat nasional kini berada pada tahap 56.9 peratus, manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar 57.6 peratus.
Angka ini bukan sekadar statistik semata-mata, sebaliknya mencerminkan ketabahan wanita dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dengan tanggungjawab sosial dan kekeluargaan.
Walau bagaimanapun, peningkatan penyertaan ini tidak semestinya mencerminkan tahap keterangkuman yang sebenar. Walaupun wanita merupakan majoriti dalam kalangan graduan universiti, potensi bakat ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam sektor ekonomi negara.
Kajian menunjukkan bahawa peningkatan penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak lima peratus sahaja mampu menyumbang antara dua hingga tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Justeru, isu ini bukan sekadar soal keadilan sosial, tetapi turut berkait rapat dengan strategi pembangunan ekonomi negara.
Dalam sektor korporat pula, wanita kini memegang kira-kira 29 peratus jawatan sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat awam berhad terkemuka di negara ini.
Menurut data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sehingga April 2025 yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, di Dewan Rakyat pada 4 Februari 2026, wanita kini memegang 33.1 peratus jawatan lembaga pengarah dalam 100 syarikat awam berhad terkemuka di negara ini.
Manakala bagi keseluruhan syarikat awam berhad, kadar penyertaan wanita adalah sebanyak 29.3 peratus seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Khim, pada pelancaran 30% Club Malaysia di George Town pada 27 Januari 2026.
Walaupun perkembangan ini menunjukkan kemajuan yang positif, usaha ke arah mencapai sasaran 40 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan terus diperkukuh. Hal ini kerana pelbagai kajian menunjukkan bahawa kepimpinan yang lebih seimbang dari segi jantina mampu memperkukuh tadbir urus organisasi serta meningkatkan prestasi institusi.
Dalam konteks institusi pengajian tinggi, USM turut berbangga dengan sumbangan wanita yang memainkan peranan penting dalam bidang akademik dan kepimpinan Universiti.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Komunikasi USM, Dr. Miharaini Md Ghani, menyatakan bahawa: "Hari ini bukan sekadar hari untuk meraikan wanita, tetapi juga untuk menghargai kekuatan dan ketahanan semangat yang sering dizahirkan melalui perjuangan mereka. Dalam pelbagai cabaran kehidupan, wanita terus menunjukkan keberanian, daya tahan dan keazaman untuk bangkit serta mencapai kejayaan. Melalui usaha akademik, kita dapat melihat bahawa banyak perubahan bermakna lahir daripada kegigihan wanita yang tidak pernah menyerah. Kepada semua wanita yang terus bangkit selepas setiap cabaran, ketahuilah bahawa kemajuan dunia ini turut digerakkan oleh kekuatan dan iltizam anda. Selamat Hari Wanita Sedunia."

Seorang staf kanan dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) pula menekankan kepentingan kekuatan dalaman dalam membentuk peranan wanita dalam Masyarakat.
Beliau menyatakan bahawa, "Wanita perlu sentiasa memupuk keberanian dan keyakinan dalam melaksanakan tanggungjawab profesional serta kehidupan harian mereka. Dengan kekuatan nilai dan prinsip yang kukuh, wanita mampu menjadi contoh teladan kepada masyarakat. Pengaruh positif ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada rakan sekerja dan keluarga, malah turut menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih berintegriti dan berdaya maju."
Di USM, sumbangan wanita dilihat melalui pelbagai dimensi. Dalam kalangan profesional dan akademik, wanita memainkan peranan sebagai penyelidik, pentadbir, pendidik serta pemimpin pemikiran yang membantu membentuk dasar pendidikan dan perkembangan ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Namun demikian, penghargaan terhadap wanita tidak terhad kepada golongan profesional semata-mata. Kami turut mengiktiraf peranan wanita dalam sektor teknikal dan sokongan yang menjadi tulang belakang kepada kelangsungan operasi kampus dan sektor industri.
Golongan wanita yang terlibat sebagai staf teknikal, pekerja penyelenggaraan, petugas kebersihan serta tenaga kerja industri memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran sistem yang menyokong kehidupan harian masyarakat. Walaupun sumbangan mereka sering berlaku di belakang tabir, peranan tersebut tetap menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan institusi serta ekonomi negara.
Dalam banyak keadaan, wanita bukan sahaja menjalankan tanggungjawab profesional, malah turut memikul tanggungjawab domestik dalam kehidupan keluarga. Fenomena ini sering digambarkan sebagai “tanggungjawab berganda”, di mana wanita menjalankan peranan di tempat kerja dan pada masa yang sama mengurus keperluan keluarga di rumah.
Justeru, usaha memperkukuh sokongan terhadap wanita melalui dasar seperti pengaturan kerja yang lebih fleksibel, peluang peningkatan kemahiran serta pembangunan kepimpinan wanita menjadi langkah penting dalam memastikan potensi mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Bagi USM, pembangunan wanita bukan sekadar soal perwakilan atau simbolik, sebaliknya merupakan pelaburan strategik dalam membina masyarakat yang lebih progresif dan inklusif.
Sempena Hari Wanita Sedunia ini, USM menegaskan bahawa pembangunan negara memerlukan penglibatan serta pengiktirafan yang seimbang terhadap semua pihak. Wanita bukan sekadar sebahagian daripada tenaga kerja negara, malah merupakan rakan kongsi utama dalam membina masa depan yang lebih mampan.
Dengan semangat tersebut, USM terus komited untuk menyokong peranan wanita dalam pelbagai bidang agar setiap sumbangan mereka dihargai berdasarkan impak dan keupayaan, bukan berdasarkan jantina semata-mata.
Melangkah ke hadapan, aspirasi yang ingin dicapai adalah jelas – membina sebuah Malaysia di mana setiap wanita bebas menentukan laluan hidupnya sendiri dan setiap tanggungjawab pembangunan negara dipikul bersama oleh seluruh masyarakat.
Teks: Privinkumar Jayavanan/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 35