PPPJJ USM ANJUR PROGRAM IHYA’ RAMADAN, SUMBANG MAKANAN ASAS KEPADA WARGA EMAS

USM PULAU PINANG, 6 Mac 2026 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmen kebajikan masyarakat apabila menganjurkan Program Ihya’ Ramadan dengan menyampaikan sumbangan makanan asas kepada penghuni di Pusat Aktiviti Warga Emas Ayer Hitam, baru-baru ini.
Program anjuran Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PPPJJ itu merupakan antara inisiatif bagi menyemarakkan pengisian Ramadan melalui pelbagai aktiviti keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan yang melibatkan warga universiti serta komuniti setempat.


Pengerusi Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PPPJJ, Prof. Madya Dr. Shaik Abdullah Hassan Mydin berkata, pihaknya berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu sedikit sebanyak Pusat Aktiviti Warga Emas Ayer Hitam dalam menjaga kebajikan para penghuninya.


“Sumbangan makanan asas yang disampaikan diharap dapat membantu meringankan beban golongan warga emas serta membawa kegembiraan kepada mereka dalam menyambut bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya.

Selain program sumbangan kepada warga emas, Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PPPJJ turut merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti lain sepanjang Ramadan seperti ceramah Ramadan, kutipan sumbangan kebajikan serta program pengimarahan Ramadan yang melibatkan penyertaan staf dan komuniti.

Sementara itu, Setiausaha program, Nor Ashikin Zainol Abidin pula berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat, di samping memupuk nilai keprihatinan, kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan warga PPPJJ.
Teks& Foto: Mohd Rashid Abdul Rejab, PPPJJ USM
- Created on .
- Hits: 190