MENZAHIRKAN SEBUAH UNIVERSITI MEMIMPIN KELESTARIAN
Universiti Sains Malaysia (USM) terus berusaha untuk merealisasikan penzahiran usaha menjadi sebuah universiti yang memimpin kelestarian bertaraf dunia.
Demikian dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey yang mewakili Naib Canselor yang membentangkan kertas kerja “USM – A Sustainability-led University” dalam International Sustainability Conference 2013 Post Rio+20 on WEHAB+3: A Southeast Asian Perspectives yang berlangsung baru-baru ini.
“USM dalam proses transisi menjadi kelestarian sebagai salah satu unsur terpenting dalam semua urusannya dengan menyepadukan tiga tonggak utama pembangunan lestari iaitu masyarakat, ekonomi dan persekitaran di dalam tiga misi pengajian tinggi iaitu pengajaran, penyelidikan dan libat sama komuniti dengan menginstitusikannya secara bersama,” kata See Ching Mey.
Tambahnya lagi, dari perspektif pembangunan lestari isu seperti perubahan cuaca atau climate change walau pun bersifat global tetapi memberi impak secara langsung pada peringkat tempatan (local) yang memerlukan penyelesaian mengikut kaedah setempat yang memerlukan usaha berfikir secara global, tetapi bertindak secara lokal atau sering diungkapkan think global and act local dengan pelbagai situasi masyarakat, ekonomi dan persekitaran yang saling berkait antara satu sama lain.
“Perjalanan USM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi menunjukkan perkembangan yang berkait rapat dengan fasa yang sama misalnya dengan wujudkan konsep Kampus Sejahtera, USM sebagai Pusat Kepakaran Serantau untuk Pendidikan Pembangunan Lestari, pelaksanaan konsep metafora USM sebagai Universiti Dalam Taman dan pencapaian USM sebagai sebuah Universiti APEX yang berteraskan kepada pendidikan kelestarian,” jelasnya lagi.
Pada masa ini, usaha giat sedang dilakukan dalam mengintegrasikan kelestarian dengan usaha-usaha utama USM yang melibatkan keseluruhan sistem dan prosesnya yang melibatkan pendekatan pendidikan yang berbeza dari sebelumnya seperti mana yang ditunjukkan di dalan model pemetaan kelestarian USM (USM’s roadmap for sustainability).
Cabaran utama untuk pengintegrasian ketiga-tiga tonggak kelestarian iaitu masyarakat, ekonomi dan persekitaran dengan proses pengajaran, penyelidikan dan libat sama komuniti berlegar sekitar bagaimana hal-hal yang berkaitan dengan air, kuasa, kesihatan, pertanian dan kepelbagaian bio (biodiversity) dan isu-isu seperti perubahan cuaca, pengeluaran keperluan pengguna dan kependudukan dan kemiskinan dapat dihadapi dengan sebaik yang mungkin.
Apatah lagi dengan adanya Pusat Kajian Kelestarian Global USM yang berperanan untuk memainkan peranan merealisasikan penzahiran usaha ini sekali gus menjadi penghubung atau nexus di antara dunia saintifik dan dasar-dasar komuniti serta menghasilkan sumber manusia yang berpengetahuan tinggi dalam merealisasikan hasrat ini pada peringkat ijazah tinggi.
“USM berusaha membangunkan indicator utama kelestarian untuk memantau perubahan dan kemajuan usaha yang dibuat dengan menghasilkan aplikasi “Sustainability Assessment Methodology” atau SAM yang digunakan untuk membuat pengauditan yang berjaya menunjukkan 45% daripada kursus-kursus yang diajar di USM mempunyai paling tidak satu daripada 3 tonggak kelestarian, 26% mempunyai paling tidak 2 tonggak dan 9% mempunyai ketiga-tiga tonggak tersebut,” kata See Ching Mey lagi.
Daripada audit SAM dalam kalangan 2,671 kursus yang diajar, 1,173 mempunyai satu tonggak kelestarian dengan 14% berkaitan ekonomi, 5% berkaitan persekitaran dan 25% berkaitan dengan masyarakat.
Manakala analisis yang dibuat terhadap 2,651 projek penyelidikan menunjukkan kira-kira 1,508 atau 57% mempunyai sekurang-kurangnya satu tonggak kelestarian, manakala 54% lagi mempunyai paling tidak dua tonggak. Kira-kira 30% daripada projek penyelidikan yang dibuat adalah berfokus kepada masyarakat.
Sementara itu, audit yang dibuat menggunakan aplikasi SAM terhadap 416 projek berteraskan libat sama komuniti menunjukkan bahawa bilangan terbesar projek atau 43% adalah berkait rapat dengan ekonomi dan masyarakat. Sebanyak 30% berkait dengan masyarakat dan 14% melibatkan ketiga-tiga tonggak termasuk alam sekitar.
“Kita berharap USM akan dapat melestarikan amalan-amalan terbaik atau best practices yang dilakukan dan pada masa yang sama memperkasakan usaha mengaplikasikan prinsip-prinsip utama kelestarian yang menjadi ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Proses Rio serta hasil daripada agenda seperti Agenda 21,” jelas See Ching Mey lagi.
Pada masa ini USM juga meneruskan agenda inisiatif Kampus Sejahtera sebagai satu sekretariat yang berteraskan libat sama pelajar, projek-projek kesukarelawanan seperti menghapuskan polistrina dan pengurangan penggunaan plastik, penawaran beberapa program di peringkat ijazah pertama dan sarjana, melancarkan Asia Pacific University Community Network (APUCEN) pada tahun 2011 dengan sekretariatnya di USM, melancarkan South East Asia Sustainability Network (SEASN) pada 28 Oktober 2013 dengan sekretariatnya di USM serta melancarkan Majlis Kelestarian Universiti pada tahun 2013.
“Walau pun terdapat pelbagai cabaran yang harus dihadapi, namun usaha penzahiran hasrat untuk USM menjadi sebuah universiti yang memimpin usaha kelestarian akan terus diperkukuhkan dengan bekerja bersama-sama sebagai satu entiti apatah lagi dalam konteks global yang tentunya memerlukan juga sokongan dan kerjasama selaras dengan Rio Declaration and Development 1992 – Peace, development and environmental protection are interdependent and indivisible,” tegas See Ching Mey di akhir pembentangannya.
Lebih 150 orang peserta yang hadir dan mengikuti pembentangan tersebut menyokong dan mengucapkan tahniah di atas usaha yang dilakukan oleh USM itu. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1796