USM TUAN RUMAH AGIHAN WAKALAH ZAKAT JAKEL KEPADA 31 MASJID TIMUR LAUT PULAU PINANG

USM PULAU PINANG, 5 Mac 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai tuan rumah penganjuran program pengagihan wakalah zakat daripada syarikat tekstil terkemuka negara, Jakel Textile Sdn. Bhd., melibatkan 31 buah masjid kariah di daerah Timur Laut Pulau Pinang.

Program yang berlangsung di Masjid Al-Malik Khalid, USM itu menghimpunkan pengerusi serta wakil-wakil kariah masjid yang hadir bagi menerima sumbangan bakul makanan sebelum diagihkan kepada golongan asnaf di kawasan masing-masing.

Sumbangan wakalah zakat tersebut disampaikan oleh wakil Ketua Pegawai Eksekutif Jakel Textile Sdn. Bhd., Dato’ Abdul Razak Sultan, dengan kerjasama Pertubuhan Jaringan Al-Jannah serta Pusat Islam USM sebagai tuan rumah penganjuran program.

Melalui inisiatif tersebut, setiap masjid menerima bantuan makanan untuk diagihkan kepada 13 orang asnaf, melibatkan keseluruhan 400 penerima daripada kalangan fakir dan miskin di sekitar daerah Timur Laut Pulau Pinang.
Antara barangan yang disumbangkan termasuk beras, sardin, biskut dan pelbagai keperluan asas dapur, yang diharapkan dapat membantu meringankan beban kos sara hidup golongan yang memerlukan khususnya menjelang bulan Ramadan.

Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, menzahirkan penghargaan kepada pihak Jakel Textile Sdn. Bhd. atas keprihatinan mereka menyalurkan wakalah zakat kepada masyarakat melalui jaringan masjid.
“Pusat Islam USM dan Pertubuhan Jaringan Al-Jannah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Jakel Textile Sdn. Bhd. atas kepercayaan dan keprihatinan mereka menyalurkan wakalah zakat ini. Sumbangan ini amat bermakna dalam membantu golongan asnaf, khususnya menjelang Ramadan yang mulia,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa penglibatan USM sebagai tuan rumah program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memainkan peranan sebagai institusi yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, inisiatif wakalah zakat tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak syarikat dalam memastikan tanggungjawab zakat dapat dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

“Sebagai sebuah syarikat yang beroperasi dalam masyarakat, Jakel sentiasa komited menunaikan tanggungjawab zakat dan menyalurkannya kepada golongan asnaf melalui institusi yang dipercayai seperti masjid. Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam membuat persediaan menghadapi bulan Ramadan,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh USM melalui Pusat Islam USM dan Pertubuhan Jaringan Al-Jannah dalam memastikan pengagihan bantuan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan sampai kepada golongan sasaran.
Program tersebut turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Jaringan Al-Jannah Kariah Masjid Daerah Timur Laut, Tuan Syed Abdul Kadir Syeh Abdullah Idid; wakil-wakil syarikat Jakel Textile Sdn. Bhd.; barisan kepimpinanan Pertubuhan Jaringan Al-Jannah; serta pengerusi dan wakil masjid kariah dari seluruh daerah Timur Laut Pulau Pinang.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Pusat Islam, USM
- Created on .
- Hits: 135