URIIS 2026 PACU PELABURAN R&D BERIMPAK, RAPATKAN JURANG INDUSTRI-UNIVERSITI
USM PULAU PINANG, 3 Mac 2026 – Penganjuran Program Industry-University Research & Innovation Investment Dialogue 2026 (URIIS 2026) disifatkan sebagai platform strategik bagi memperkukuh pelaburan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi, sejajar dengan keperluan sebenar industri.

Program berkenaan dianjurkan secara bersama antara Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat, Northern Corridor Economic Region (NCER) dan Universiti Putra Malaysia, bertempat di NCER Technology Innovation Centre (NTIC), baru-baru ini.
URIIS 2026 itu turut menghimpunkan seramai 48 pemimpin industri dan 52 wakil universiti awam dalam usaha memperkukuh kolaborasi strategik dalam penyelidikan dan inovasi.

Program tersebut bertujuan mengenal pasti halangan pelaburan R&D dan inovasi yang ditakrifkan oleh pihak industri, merangka penyelesaian praktikal daripada perspektif pelabur industri, serta membangunkan kerangka asas yang akan diguna pakai dalam siri dialog seterusnya.
Perbincangan memfokuskan kepada penjajaran keutamaan penyelidikan berpaksikan industri, penerokaan laluan kolaborasi dan pembiayaan, merapatkan jurang tahap kesediaan akademik dan teknologi, serta merangka solusi pelaburan berorientasikan dasar bagi mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan universiti.

Antara bidang tumpuan yang dibincangkan termasuk Semikonduktor dan Elektrik & Elektronik (E&E), Pembuatan Termaju dan Robotik AI, Aeroangkasa, Automotif, Peranti Perubatan dan Sains Hayat, Agritech dan Bioteknologi Makanan serta Logistik.
Dialog ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem industri-universiti, sekali gus memacu inovasi bernilai tinggi dan memperkasa daya saing rantau ini dalam landskap ekonomi berasaskan teknologi dan pengetahuan.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Advancing Northern Industries with USM” yang mengetengahkan kekuatan R&D USM, potensi kerjasama dan nic USM bersama pemain industri yang hadir.
Beliau juga menyampaikan insentif yang boleh dimanfaatkan oleh pihak industri dalam kerjasama R&D bersama USM.
Hadir sama ke program itu ialah Pengurus Besar Pelaburan-Pembuatan, Bahagian Pelaburan, NCER, S. Asmazura Ismail, Timbalan Pengarah (Pemajuan Profesional), Prof. Madya Dr. Sudesh Prabhakaran yang menyampaikan pengenalan URIIS serta Timbalan-Timbalan Naib Canselor beberapa universiti awam lain yang turut membuat pembentangan masing-masing.
Teks: Eliza Yasmin Dahlan/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Northern Corridor Economic Region (NCER)
- Created on .
- Hits: 85