DARI DAPUR KE MEJA IFTAR: 172 SUKARELAWAN USM PASTIKAN 1,500 JEMAAH BERBUKA SEMPURNA SETIAP HARI

USM PULAU PINANG, 2 Mac 2026 - Seawal jam 8.00 pagi, dapur Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) sudah mula sibuk dengan pelbagai persiapan.
Asap berkepul dari kawah gergasi, bunyi hirisan sayur dan deretan pinggan mangkuk dan gelas minuman bersih tersusun rapi – semuanya demi satu tujuan, memastikan kira-kira 1,500 jemaah dapat berbuka puasa dengan sempurna setiap hari.

Di sebalik kelancaran itu, berdiri teguh seramai 172 orang sukarelawan setiap hari terdiri daripada staf USM dan penduduk setempat yang tanpa jemu bergotong-royong menyediakan juadah iftar sepanjang Ramadan 1447H/2026M.
Ada yang mengacau gulai dalam kawah besar, ada yang menanak nasi dan menumis lauk-pauk, malah tidak kurang juga yang setia menyediakan minuman serta menyusun hidangan di bawah khemah.

Setiap tugasan digalas penuh tanggungjawab demi memastikan tiada jemaah yang pulang dengan perut kosong.
Suasana penuh harmoni dan kegembiraan jelas terasa apabila sukarelawan pelbagai latar belakang bersatu hati.
Keringat yang mengalir walaupun sedang menahan lapar dan dahaga tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka, sebaliknya menjadi simbol kebersamaan dan ukhuwah yang semakin erat di bulan penuh keberkatan ini.


Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadan USM 1447H/2026M, Ustaz Iswandi Abdul Mokmin, berkata komitmen luar biasa para sukarelawan setiap kali Ramadan menjadi nadi utama kelangsungan program iftar berkenaan.
“Alhamdulillah, seramai 172 sukarelawan hadir membantu tanpa mengira penat lelah. Mereka datang dengan hati yang ikhlas, sanggup meluangkan masa dan tenaga demi memastikan 1,500 jemaah dapat berbuka dengan selesa,” katanya.
Menurut beliau, penyediaan juadah dalam jumlah besar memerlukan perancangan rapi serta kerjasama yang mantap.

“Ini bukan sekadar menyediakan makanan. Ia adalah medan untuk kita menyemai nilai keikhlasan, memperkukuh ukhuwah dan mendidik jiwa tentang erti pengorbanan.
Setiap hidangan yang disajikan adalah hasil titik peluh ramai pihak,” tambah Iswandi.
Program iftar Pusat Islam USM saban tahun menerima sambutan menggalakkan daripada warga kampus termasuk pelajar, staf serta masyarakat luar.
Malah, ada dalam kalangan sukarelawan yang setia menyumbang tenaga sejak hari pertama Ramadan.

Ketika azan Maghrib berkumandang, wajah-wajah yang sejak pagi bertungkus-lumus jelas terpancar rasa syukur dan kepuasan.
Dari dapur ke meja iftar, setiap usaha kecil yang dicurahkan menjadi asbab terjalinnya silaturrahim dan bertambahnya keberkatan.
Ramadan di Pusat Islam USM bukan sekadar tentang juadah, tetapi tentang jiwa-jiwa yang bersatu, tangan-tangan yang memberi dan hati-hati yang semakin dekat kepada Ilahi.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Pusat Islam, USM
- Created on .
- Hits: 85